perjalananjauh

May 4, 2010

Sebait Suka dan Sakit

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 5:59 pm

Antara suka dan sakit

Aku melihat erti di sebaliknya

Melihat rahmat yang ada

Mencari hikmah mungkin sirna

 

Jika suka itu

Manakah asalnya

Apakah ertinya

Jika materi itu suka

Relaku hindar mencari duka

 

Sakit mungkin

Manakah asalnya

Apakah ertinya

Jika perjuangan itu sakit

Relaku kendong mencari bahagia

March 23, 2010

Animal Rights

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 1:18 pm

Animal rights members menyerang kami, mengutuk dan mencerca pelajar Sains Haiwan.

Sebabnya, salah seorang daripada kami meng’upload’ video ketika penyembelihan yang kami jalankan ketika kelas Sains Daging.

Daripada tuan Dekan, Fakulti sehinggalah pensyarah dan pelajar dicari dan diserang bertubi-tubi. Menjadikan sedikit kekecohan dan menyebabkan terganggaunya emosi sahabat kami.

Sebenarnya yang ditentang adalah penyembelihan itu, kerana? Kerana Islam.

Kami diarahkan diam, tidak menjawab segala tuduhan. Agar cerita ini tidak dibesar-besarkan. Atas dasar menjaga imej. Kami diam (walaupun ada yang terlepas membela, kerana geram).

Kalau menyembelih haiwan dilarang, mengapakan menyembelih manusia dibenarkan? Haiwan apakah berperangai sebegini?

February 24, 2010

Catatan:Mengejar Impian

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 8:41 am

Catatan:

Berfikir beberapa hari ini tentang pendidikan di Mesir bersama ahli keluarga. Persoalan yang terngiang-ngiang di kepala sejak sekian lama. Kepingin sekian lama, tapi tiada jodoh lagi ke sana atas beberapa perkara. Sekarang rakan berkata ” peluang sudah di depan mata(boleh mendaftar mengambil STAM), jadi tunggu apa?”

Persoalan:

Setelah mengambil masa 4 tahun belajar di Malaysia, tak mungkinlah ilmu ini ditinggalkan sahaja. Sekurang-kurangnnya mahu bekerja, berpendapatan dan berkeluarga. Mahu juga berkereta. Mahu punya kehidupan dunia. Penat lelah mahu terbela. Ibu perlu dijaga. Apa guna ke sana (Mesir), sedang di sini pun boleh berjaya? Karut dan hanya cereka.

Ingatan:

Menuntut ilmu biarlah sehingga ke negeri China. Tatkala muda biarlah berjauhan, tak mungkin larat nanti tua. Ilmu Allah tak akan dapat menunggu sahaja, pergilah belajar dan mengembara.

Keburukan:

Belajar di Mesir punya keburukan? Membuang masa, menghabiskan duit, membuatkan ibu kecewa, malahan keluarga yang menanti penuh harapan, pasti akan terasa juga. Apa faedahnya meninggalkan ilmu yang dipelajari selama ini di Malaysia?

Pemikiran:

Hati ini mahu namun, takut untuk memberitahu ibu. Hati ini kepingin tapi risau mengecewakan keluarga.

Keistimewaan:

Belajar di Mesir, punya Al-Azhar. Ilmunya mantap. Ilmu di dunia tidak sama, tak rugi mana pun ilmu di Malaysia, malah nanti boleh diguna juga. Masa hadapan masih lama(insyaALLAH), tidak sekarang akan datang pasti guna. Tidak akan rugi menambah ilmu didada.

Tapi masih takut untuk bertanya orang tua sehinggalah…

Jawapan:

Along:Nanti kau ambil bidang Usuluddin lah, feqah Along dah ada”

Alhamdulillah.

Ibu: Hah nak sambung belajar Mesir? Alhamdulillah mak sokong sangat-sangat. Nanti mak tolong. Teruskan’

Alhamdulillah

Penutup:

Alhamdulillah hilang sudah ketakutan dan persoalan. Yang tingga hanya diri menegejar matlamat. Moga kuat dan tsabat.

Pesanan:

Hanya sebuah coretan di pagi hari untuk dilihat pada masa akan datang. Dalam cerita mengejar cahaya, untuk menuju tuhan yang Esa.

-Afizhi atan-

February 6, 2010

Ana Muslim- Episod 8

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 1:15 pm


Episod 8

Terbentang indah satu hamparan rumput yang luas, hijau menutupi permukaan sehingga yang jelas di kejauhan umpama bersambungan dengan kaki langit yang jelas biru kelautan. Hanya beberapa batang pokok berdiri tegak beserta rimbunan dedaun dan dahan, menjadi peneduh pembuat bayang sekadar mengindahkan lautan hijau.

Aliran sungai atau mungkin juga terusan mengalir terus melintangi padang hijau, mata yang memandang mentafsirkan kesejukan air dan menggambarkan kesegarannya.

Di bawah seperdu pokok, dibentangi rumput padang atau juga nama saintifiknya Brachiaria decumbens, otak Ah Meng mentafsir. Terpana dia dengan kecantikkan ini. Luar biasa cantik. Pernah juga dilihat, seperti di dalam iklan komersial Milo, kanak-kanak berlarian membawa layang-layang di padang menghijau seperti ini. Tetapi, dimanakah dia?

Baru sebentar tadi, dia bersama rakan-rakan baru, membincangkan tentang perihal ketuhanan. Baru sebentar tadi, dia tumbang dipangkuan Hakimi, kerana tidak termampu menahan asakan pemikiran yang agak baharu baginya. Baru sebentar tadi, dia terasa pendirian papanya salah dari pada fitrah asal. Dan baru sebentar tadi, dia berada di UniTen. Baru sebentar tadi juga dia tersedar dan mendapati dirinya entah dimana. Terjaga dari tidur,berbantalkan rumput berbumbungkan langit biru dan berteduhkan pohonan pokok yang rendang.

Ah Meng masih kehairanan. Keliru. ‘Dimanakah aku?, Gaya seperti di UPM, juga punyai ladang seluas ini, tapi manakah pula lebuhraya yang bersebelah dengan ladang UPM?’ Ah Meng bermonolog.

Dia bangun, mengeliat meluruskan tangan ke atas. Kakinya ditunjitkan sedikit, terjengket-jengket dia sedikit bergerak. Melegakan sendi-sendi badan yang dirasakan seperti membelit tubuhnya. Kemudian, dia berlarian anak ke sungai, kelihatan jernih dan cetek. Ikan seakan berpesta tari-menari di permukaan air, bergembira menjalani kehidupan. Ah Meng tersenyum. ‘ Cantik’ Bisik hati Ah Meng.

Dipijaknya batu yang timbul dipermukaan air, lalu bertenggek. Lantas , Ah Meng mencangkung dan mencapai air sungai dengan tangannya. ‘ Sejuk, segar sungguh’ Seyuman Ah Meng semakin panjang. Terasa riang pula. ‘ He, sudah lama nih tidak bermain air. Dulu, aku terjun sahaja tanpa seluar kalau ada peluang begini’ Girang sungguh hati Ah Meng.Ah Meng teringat kisah lamanya. Manakan tidak, pernah dia terlolong –lolong meminta bantuan tika kangkangnya digigit pacat, gara-gara mandi di lombong lama. ‘ Ular, ular, tolong lo, ular makan dalah aku’ Jerit Ah Meng ketika itu, sehinggalah dia dibantu seorang pakcik Melayu yang melintas untuk memancing. Tergelak pakcik itu, melihat pacat yang kekenyangan tergantung-gantung di celahan kangkang Ah Meng, dijerit katanya ular. ‘he, he’ Ah Meng senyum sendiri. Diminum sedikit air sungai itu, dan dibasuhnya kepalanya.

‘ Dimanakah aku?’ Ah Meng berdiri semula.

Tiba-tiba, dia terlihat lima orang lelaki menyeberangi sungai itu. Mereka berlalu tanpa mempedulikan Ah Meng. Laju sahaja mereka menyeberang. Seluar slack berwarna hitam mereka diangkat sedikit keparas lutut, masing-masing menjinjing capal, berkaki ayam sahaja menginjak-injak batuan sungai.

Baju mereka seperti baju melayu, berwarna putih, kepala ditutupi songkok hitam berlilitan keemasan ditengah dan masing-masing membawa beg sandang.

“Hoi, nak kemana kamu? Tunggu aku..” Ah Meng melaung, namun mereka terus beredar berlarian anak.

Hati Ah Meng membara, geram sangat. ” Hoi budak-budak! Kemana kamu? Sini aku mau tanya lo..” Ah Meng makin mengeraskan suaranya. Dia bingkas melompat ke daratan , cuba berlari mengejar lelaki-lelaki itu. Namun hampa, mereka masih berlalu meninggalkannya.

Tahap kemarahan Ah Meng semakin membara, lantas dicabutnya kasut yang dipakainya satu persatu. ” Siap kolang..ha..Inilah namanya Ah Meng ..” Hati geram mengizinkan segalanya. Kasut ditangan digenggam erat, sasaran sudah berada didalam lingkungan serangan. Tangan mula menarik picuan urat, kebelakang, lalu balingan dilepaskan. Kasut laju meluncur, deras dan mantap. Graviti memainkan peranan. Balingan sedikit keatas membuatkan kasut laju menujah kearah bawah dan…Tup.. Mengenai kepala lelaki yang paling belakang.

“Aduh! Sakitnya.” Lelaki itu terkedu dan berhenti berlari. Tangannya digosok-gosokkan ke kepalanya, sedikit lelehan merah keluar di sebalik rambutnya, songkok terlepas ke tanah tatkala kasut tepat mengenai kepala.

Lelaki itu menoleh kebalakng , tepat kearah Ah Meng. Dipandangnya Ah Meng kehairanan, kemudian dia tersenyum. Songkok di tanah diambil kembali, ditepuk-tepuk dan cuba untuk berlalu pergi mengejar sahabat yang lain. Tapi jeritan Ah Meng menghentikannya.

” Bang, tolong la. Ini dimana ma? Saya tak tau ini tempat lo, ini apa nama tempat? Mana itu teksi punya parking ?” A Meng bertanya tanpa ada pendahuluan, tanpa ada salam pengenalan.

” Awak daripada mana?” Lelaki itu membalas.

” Bangi” Jawapan ringkas Ah Meng.

” Oh, awak di Laluan Utama. Di sini tiada teksi. Untuk ke Bangi, ikut tepi pagar dan jalan menyusur sehingga nampak pokok besar.” Lelaki tadi terus berpaling dan mula berlalu.

” Nanti bang, kenapa abang berlari?” Ah Meng bertanya lagi..

” Kami kena cepat, raja sedang menunggu.” Dan dia terus berlari.

” Aiyya. Macam celita dongeng lakyat saja gua ni. Ada pagar la, pokok besar la, laja la. Ini kenapa itu brother tak cakap ada fairy tail saja.. Sohai.. tak percaya la gua.” Ah Meng terasa diperbodohkan. Bengang. Jawapan yang ditagih, hanya memeningkan lagi kepalanya yang sesak dengan selirat dan sarap.

“Sohai.” Makinya lagi.

Lantas dia berjalan kearah lelaki-lelaki tadi susuri, sehingga dia terjumpa pagar berwarna putih. Setahunya pagar ini dinamakan English Fencing. Pagar Inggeris. Berwarna putih dan menggunakan tiang yang agak keras, dibuat berbentuk petak-petak dan panjang. Membenarkan orang memasuki kawasan sebelah pagar dengan mudah, namun tidak bagi sebarang haiwan. Pagar yang agak tegap dan ampuh dari sebarang haiwan tiada berakal, namun rapuh bagi manusia berfikiran perncuri.

Ah Meng terus menyusuri pagar itu. Pandangannya kehadapan, tiada lagi menoleh. Kadang-kala, kakinya tersadung batu besar yang tertancap kukuh di tepian pagar. Hampir-hampir membuatkan dirinya terjatuh, namun dek kerana tangannya erat menggenggam pagar, badan dapat diimbangkan semula.

Setelah lima belas minit berjalan,pandangan Ah Meng mula menerpa ke sebuah bukit. Seperti biasa, bukit itu dilitupi daunan hijau rumput padang. Cuma, yang amat menakjubkannya ialah sebuah Istana tersergam indah.

Istana; berbumbung biru dan berkubah. Punyai menara seakan masjid, berdiri angkuh di setiap empat penjurunya. Sedikit punyai jendela batu, tiupan angin menghembus tirai langsirnya yang berwarna biruan pekat juga. Menara Istana punya bentuk sama seperti menara di Aya Sofea di Turki. Cantiknya.

Ah Meng terpaku. Kakinya tidak berganjak lagi, matanya terkebil-kebil , mulutnya menjadi pucat, telinganya seakan berdesing. Apakah ini? Persoalan mulai timbul. Ini betul-betul seperti di dalam cerita kanak-kanak. Fairy tail? Mengarut. Mengarut. Mengarut. Ah Meng rasa semacam.

” Cantik, mungkinah saya di dalam buku Lord of The Ring? Adakah pelakon LOTR bertukar menjadi melayu? Arghh karut.” Persoalan direka-reka.

Ah Meng cuba melangkah, melangkah dan terus melangkah. Langkahannya semakin laju menuju kearah tempat yang dirasakan istana. Matanya terus sahaja tertancap pada istana itu. Makin lama, Istana itu semakin dekat, dan makin tinggi pula tembok batu yang mengelilinginya. Tembok yang menjadi penghalang mata Ah Meng untuk terus menikmati istana, menikmati keindahan luar biasa di dalam kisah yang dia sendiri tiada tahu bukunya, dia sendiri tiada mengerti dongengnya.

Ketika makin hampir pada lalan ke istana tersebut, makin ramai jugalah orang berbaju putih berseluar slack hitam berlarian anak menuju kearah yang sama. Ada juga perempuan-perempuan berbaju kurung, berjilbab labuh berwarna putih, juga berkain hitam berselendang keemasan. Juga turut berlarian anak. Ada yang mendukung anak, ada yang memimpin anak, ada yang membawa beg, ada yang berlenggang kangkung, ada juga yang menjinjit kasut berkaki ayam.

Ah Meng bergabung bersama mereka, tiada siapa dikenalinya dan tiada siapa mengenalnya. Dia turut berlarian anak, cumanya dia berlarian tanpa tujuan. Dia tidak tahu kenapa dia perlu berlari, yang dia pasti dia cuma ingin merapati istana itu, orang berlari maka dia pun berlari.

Tiba- tiba, dia seperti mengenali sebentuk tubuh yang agak kehadapan dengannya. Berlarian anak juga.

“Hakimi?” Ah Meng hairan.

Namun, dia tetap yakin, itu Hakimi. Tidak semena-mena, orang ramai mulai bersuara tatkala jarak diantara mereka dan istana hanya 50 meter sahaja. Suara yang cukup merdu, tapi seperti dipenuhi ungkapan penyesalan.

Astagfirullah robbal baroya

Astagfirullah minal khotoya

Robbi dzidni ilman nafi’aa

Wa waghfirli amalan maqbula

Wa habli rizqon wasi’a

Wa tub alaina, taubatan nasuhaa

Wa tub alaina bi taubatan nasuhaa

Atagfirullah Rabbal baroya..

Dan suara itu terus berdendang, terus bergema. Mereka menundukkan kepala, ada sendu di bahu mereka. Ah Meng jadi sayu, dia ingin segera mendapatkan Hakimi. Orang dihadapannya dirempuh. Dia mahu cepat. Dia tidak tahan mendengar sayuan orang, lagu yang mendayu itu, bersama angin semerdu seakan-akan meniup ditelinganya, menusuk-nusuk kencang gegendang memecahkan telinga. Menusuk ke hati menerobos dan membelah. Ah Meng jadi sayu. Dia mengejar Hakimi, makin dekat, makin rapat, masih berbaki dua depa untuk dia menggapai bahu Hakimi.

” Nanti, yang itu, tunggu. Jangan mendekat.” Laungan seseorang menghentikan semua pergerakan. Semua menjadi senyap. Tiada lagi rintihan, tiada lagi larian.

” Assalamualaikum ya saudara, anda tidak dibenarkan masuk.” Seorang pengawal istana lengkap bersenjata lembing dan menegur.

“Cukuplah sekadar di sini, saya minta anda berundur.” Arahnya lagi. Tangan Ah Meng di capai dan ditarik ke tepi kearah pondok pengawal.

Ah Meng kehairanan. Nyanyian bergema lagi, rintihan mulai lagi, larian kembali bersambung.

Ah Meng terlopong, dia mahu berlari bersama mereka namun tangannya digenggam erat.

” Hakimi! Hoi Hakimi! Hoi!” Itu sahaja yang sempat diucapkan.

” Tolong encik, saya nak masuk lo.” Ah Meng bersuara.

” Mana mungkin, awak tidak dibenarkan.” Tegas pengawal.

” Tolong la encik, ini sekali saje ma. I bagi lu duit la,kira duit kopi ma, lu bagi I masuk.” Ah Meng merasuah.

” Astagfirullah. Encik maaf. Tidak boleh” Maha suci Tuhan yang menjauhkan rasuah daripada seorang pengawal biasa berhati mulia.

” Tapi kenapa?” Ah Meng menyoal.

” Kerana awak tidak berhak, awak tidak layak” Pengawal bertegas.

” Apa bukti saya tidak layak ma? Meleka boleh, kenapa saya tilak boleh? Racist!” Ah Meng bertanya dan menuduh melulu.

” Dan buktikan pula kenapa awak layak? Mereka boleh kerana mereka berusaha, mereka diizinkan, tapi adakah awak semulia mereka? Awak tidak layak” Tegas pengawal, bersahaja.

” Saya berusaha, keputusan exam saya bagut. Anugelah dekan lagi lo.” Ah Meng ,makin mengeras.

” Saudara, tidaklah Allah melihat semua itu. Bukankah Allah telah berfirman,Allah tuhan yang maha agung, Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa diantara kamu yang baik amalnya. Maka siapa beramal dengan perkara yang baik sahaja layak. Apakah kamu kira amalan kamu sudah cukup baik? Balik sahajalah orang muda, berundur jauh.” Pengawal memujuk. Ah Meng mula terkedu.

‘Apakah amalanlu tidak cukup baik? Tidakkah ada setitis amalanku yang dikira baik? Apakah harga diriku tidak pernah dinilai baik?’ Monolog Ah Meng.

Dia mulai menitiskan air mata.

” Ah Meng, Ah Meng.. Sini.. Jangan menangis. Kau masih sempat. Jika kau balik nanti, ambil kuncinya pada aku. Kau layak, Cuma mungkin kau terlupakan kunci yang aku kirimkan.. AH Meng.. AH Meng..dengar kataku ini.. Ah Meng..” Ah Meng melihat Hakimi menjerit –jerit dari dalam kawasan istana, memesan sesuatu kepadanya.

” Ah Meng” Hakimi bersuara lagi.

” Ah MengcCuma memandang, sambil tangannya dicengkam erat si pengawal.

 

“Dia masih di dalam komanya, mungkin dia sedang bermimpi. Mimpikan sesuatu yang paling hampir, yang paling dia inginkan. Insya-ALLah kami akan segera memasukan ubatan yang sesuai. Moga dia cepat sembuh.” Doktor Ridhuan menerangkan.

Hakimi dan Ustaz Annuar berdiri disamping katil Ah Meng, mendengar. Setiap kata-kata yang diucapkan Ah Meng , cukup mengharukan mereka. Ah Meng seperti bermain wayang, menjadi pelbagai watak dalam mimpinya sendiri. Sedangkan badannya terbaring lesu tidak bermaya.

Tok, tok tok. Ketukan di pintu mengejutkan Hakimi dan Ustaz Annuar. Merka menoleh.

” Assalamualaikum.” Salam diberi.

Bersambung…

January 25, 2010

SAHABAT- Perjuangan bukan sekadar dikenang

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 2:00 am

” Setiap motivasi yang kita dapat, akan bertahan hanya 3 bulan sahaja” Ungkapan seorang ustaz kepada kami.

Memang benar, setiap kali kita bertemu rakan-rakan yang sekepala, mahu berjuang bersama,maka kita akan bersemangat.

Tak sabar-sabar pula kita bubar untuk terus kearah sasaran masing-masing memulakan tugasan. Nak berdakwah melangitkan ummah.

Namun, setelah bersendirian di medan, masing-masing jadi alpa. Kita leka dengan kerja kita, kita anggap tugasan dulu kerja orang lain. Kita dah tiada kita mengena.

Kemudian, tatkala kita dirundung masalah, kita tuduh orang lain. Ini semua salah orang. Orang yang selalu ajak kita buat perkara pelik-pelik ni. Orang yang selalu suruh aku buat program kononnya nak ubah orang lain jadi baik.

Ni semua salah orang. Aku tak ada masa nak fikir benda-benda ni. Mengarut.

Namun kita pun BODOH juga, kerana:

Kita tak pandai mengurus masa. Banyak masa kita habiskan main game, tidur, melangut, berborak, tengok internet, malahan keluar makan pun ambil masa berjam-jam.

Kita tak pandai berkata ‘tidak’. Kita suka buat kerja untuk orang lain. Kita buat kerja bukan untuk diri kita. Kadang-kala kita ada tanggungjawab lain, kita tahu kita tak mampu, tapi dek kerana BODOH tak mahu kecilkan hati kawan maka kita terima.

Kita lupa yang kita punya kawan. Asik sangat dengan telefon baru , lupa pada kawan disekeliling. Kita langsung tak mahu bincang apa masalah kita pada kawan, dah jadi perkara tak baik, baru nak cerita.

Kita tak pasti kedudukan kita. Kadang-kadang yang pelajar lagaknya macam dah bekerja, yang dah kahwin lagak bujang, yang kuli lagak bos. Kita langsug tak fleksibel. Ikut redah mana yang dapat, mana yang selesai. Tanggungjawab utama kita tinggalkan.

Kita tak faham betul-betul kenapa kita hidup. Kita anggap kita hidup untuk dunia, maka hilang materi dunia, kita terasa semuanya dah hancur. Semua dah tak boleh diperbetulkan. Semua dah musnah.

‘Ini semua salah orang’ Kata diri kita, mencarutkan orang.

Akhirnya, kita lemah, kita futur dari jalan dakwah, jalan ALLAH. “Selamat tinggallah dakwah, kau yang rosakkan aku” Ungkap kita.

Huh, andai nabi macam kita, pastinya kita masih menonggek-nonggek menyembah kepala gajah, makan kurma atau tembikai berbentuk badut. Astagfirullah. Nasib baik nabi BUKAN macam KITA

Kawanku, aku bukan nak mengajar kau. Kau seharunya lebih pandai. Cuma sedkit peringatan, moga diingat-ingatkan.

Kau seharusnya:

Uruskanlah masa dengan baik. Susun jadual dengan betul. Tulis betul-betul di dalam calendar kau apa yang kau patut buat pada sekian-sekian hari bulan. Kalau program kau bercanggah dengan apa yang sepatutnya kau buat, maka ambillah yang terpenting. Bincang dengan naqib-mu atau kawan kau tentang perancangan yang telah kau aturkan. Jangan lagi main redah je. Jika kau gagal merancang, maknanya kau telah merancang untuk gagal. ALLAH bersumpah demi masa tau, membuktikan masa itu penting. Jangan jadi golongan yang rugi.

Kalau kau punya hal lain, atau kau tidak mampu melaksanakan tugasan dakwah yang telah diberikan, katakana sahaja ‘tidak’. Janganlah kau malu. Berikan alasan yang kukuh. Biasalah, kadang-kala kau penat, kau punya assignment, kau punya kerja, kau punya macam-macam tanggungjawab. Kita tak dilahirkan untuk semua perkara wahai kawan, buat yang termampu.

Seharusnya orang yang punya tarbiyah, punyai seorang naqib untuk dibawa berbincang. Punyai ramai ikhwah untuk diajak berbual, prinsip takaful sepatutnya lebih kuat. Jika kau punyai masalah, tidak seharusnya kau malu untuk hubungi mereka. Ceritakan atau adukan sahaja pada mereka. Jika mereka menolak, kau telefon sahaja aku. Pastinya kekeliruanmu akan selesai, jika tidak hari ini, menjelang esok pasti akan hilang kusutnya.

Semak kembali siapa kita wahai kawan. Dakwah ini fleksibel. Jangan terlalu menekan dirimu. Tidak akan ada yang marah padamu, jika kau tidak mengikuti program kerana kau ada kelas pada waktu yang sama. Tidak akan ada orang yang akan memakimu jika kau terlewat kerana menjaga ibu yang sakit, atau terlewat angkara anakmu yang demam. Tidak ada. Jangan paksa dirimu.

Jika kau seorang pelajar university, pastikan pointer mencecah 3.0 . Jika tidak, berusahalah bersungguh-sungguh untuk mengecapinya. Jika kau seorang pekerja, pastikan hasil kerja mu sentiasa dijadikan contoh pada yang lain. Jika kau gagal, jangan salahkan dakwah, kerna kau yang BODOH.

Gagal sekali adalah tanda untuk Berjaya seratus kali. Jika kita gagal 99 kali, usahalah lagi. Mungkin kejayaan kita pada usaha yang ke 100.

Jangan kita lari dari sahabat, kembalilah kepada tarbiyah. Ikutilah usrah, kerana ia membantu mengalirkan arus semangat untuk kita terus hidup, mengalirkan arus motivasi yang mekar. Sekali kita tidak hadir usrah, pastinya kita menjadi makhluk asing di muka bumi, berubah perangai dan akhlak.

Jangan kita putuskan hubungan kita. Jalan manakah lagi yang mampu membawa kita ke syurga?

Moga kita bertemu di syurga.

Afizhi atan

Coretan buat sahabat TERSAYANG,

Moga ALLAH memberkati.

January 4, 2010

Kristian Dibenar Guna Kalimat ALLAH

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 12:16 am

Oleh:Us. Halim

 

Hakim Mahkamah Tinggi, Lau Been Lan memutuskan akhbar mingguan kristian “Herald” sekarang boleh menggunapakai perkataan “Allah” dalam akhbar dan apa sahaja penerbitannya dan mengisytiharkan larangan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri sebagai “illegal, null and void” (salah, tiada kesan dan terbatal). Keputusan Hakim Lau Been Lan tersebut dibuat dengan asas :

  1. Agama-agama lain selain Islam berhak diamalkan dengan aman dan harmoni di Malaysia. (Perlembagaan Persekutuan, Artikel 3).
  2. Pemohon, Archbishop Murphy Pakiam berhak bebas dalam bercakap dan mengutarakan pandangan (Perlembagaan Persekutuan, Artikel 10).
  3. Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia gagal membuktikan dalam perbicaraan bagaimana dengan menggunakan perkataan “Allah” boleh mengancam keselamatan negara.


Photo: The former Auxiliary Bishop Murphy Nicholas Pakiam was installed as the third Archbishop of Kuala Lumpur on the Feast of the Ascension May 29 at the Cathedral of St John. He succeeds 71-year old Archbishop Anthony Soter Fernandez, who resigned on May 24 due to ill health.

Pada 7/1/2009, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan permit kepada “Herald” dengan syarat tidak boleh menggunakan perkataan “Allah” dan dengan tanda “T.e.r.h.a.d” di Muka Pertamanya (edaran untuk orang Kristian sahaja) demi keselamatan dalam negara dan mengelak kekeliruan dikalangan umat Islam. Namun pada 16/2/2009, penerbit Herald, Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan Mahkamah bahawa larangan itu adalah salah, dan perkataan “Allah” bukan hanya untuk agama Islam.

Pandangan saya :

  1. Hakim Lau Been Lan membuat keputusan menggunakan dua artikel dalam Perlembagaan Persekutuan yang sangat umum. Oleh sebab sangat umum, lain hakim boleh memutuskan keputusan yang berbeza.
  2. Istilah “Keselamatan dalam negara” juga tiada perincian yang sewajarnya menyebabkan ia mudah ditafsirkan oleh sesiapa sahaja. Mereka yang berkepentingan agama dan ideology tersendiri akan menafsirkannya cara tersendiri. Mereka yang berkepentingan politik akan menafsirkannya cara tersendiri pula. Mereka yang lebih dekat kepada umat Islam dan kepentingaan mereka hanya badan-badan Islam dan wakil-wakil rakyat mereka. Namun, adakah wakil-wakil rakyat umat Islam berjuang bersungguh-sungguh di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN)?
  3. Jika dengan bilangan wakil-wakil rakyat Islam dan pengaruh mereka dalam Parlimen terhadap wakil-wakil bukan-Islam (yang ramai sekular), usul larangan menggunakan perkataan “Allah” oleh agama-agama lain adalah mudah untuk diluluskan lalu menjadi akta. Saya tidak fikir kebanyakan wakil rakyat bukan-Islam yang rata-rata ahli politik atau ahli perniagaan dan bukan ahli agama akan beriya-iya untuk menggunakan perkataan “Allah” yang telah lama dipakai (sejak 700 tahun lalu) oleh umat Islam di Malaysia. Malangnya ramai wakil-wakil rakyat Islam kita tidak berfikir dan bertindak seperti ini. Langkah mengaktakan perkara-perkara yang bermenfaat kepada umat Islam kedalam Perlembagaan tidak perlu menunggu sehingga tertegaknya Daulah Islam terlebih dahulu.
  4. Selepas ini tidak salah orang-orang kristian mengatakan “Allah” beranak atau mempunyai anak dihadapan umat Islam samada dalam perbualan, penulisan lebih-lebih lagi dalam media massa dan ucapan umum. Diantara mereka mempercayai Nabi Isa (Jesus) sebagai anak Tuhan. Mahasuci Allah dari tohmahan tersebut.
  5. Pemakaian perkataan “Allah” dinegara lain tidak boleh dijadikan alasan membolehkan pemakaian tersebut di negara Malaysia. Contoh sesetengah Arab Kristian menggunakan perkataan “Allah” dalam insyaAllah, alhamdulillah dll. Syariat atau undang-undang berbeza dari satu negara ke satu negara bergantung kepada realiti setempat, keadaan masyarakat, keadaan masa dsb sama seperti undang-undang jalanraya, imigresen dsb disesebuah tempat. Perkataan “Allah” oleh semua penduduk berbilang agama dalam sesetengah negara tidak menimbulkan kekeliruan berbanding jika ianya tersebar dikalangan masyarakat di Malaysia.
  6. Jika keputusan KDN vs Murphy Pakiam diatas menjadi precedence case (kes sulung/terdahulu yang boleh dijadikan rujukan dan panduan penghakiman-penghakiman selepas ini), pengikut-pengikut agama lain juga kini boleh bebas menggunakan perkataan “Allah” di Malaysia. Disebabkan “Allah” mereka berbeza, mereka bebas, dan dijamin Perlembagaan Persekutuan, untuk menyifatkan “Allah” mengikut kehendak kepercayaan mereka walaupun dengan sifat-sifat yang bertentangan dengan Allah yang sebenar yang diimani oleh umat Islam seperti berupa patung, binatang dan sebagainya. Apabila berlaku di Denmark, disiarkan kartun bernama “Muhammad” berlaku huru hara bukan sahaja di Denmark, tetapi kebangkitan hampir di seluruh dunia, bagaimana pula yang akan berlaku jika disiarkan satu patung berkepala binatang bernama “Allah” dibumi Malaysia kesan dari keputusan Lau Been Lan tersebut ?
  7. Adakah isu ini yang baru sahaja lahir tahun lalu setelahmana umat Islam di Malaysia menggunakan perkataan Allah sejak 700 tahun lalu, menunjukkan peningkatan jiwa, kepekaan dan aktivisma umat bukan-Islam di negara ini, atau sebaliknya menunjukkan kekhuatiran mereka terhadap kepupusan berbanding Islam yang teguh seperti yang disebut oleh Prague Cardinal Miloslav Vlk. Atau adakah ia menunjukkan penurunan terus menerus kepekaan, penghayatan dan identiti Islam di dalam jiwa-jiwa umat Islam itu sendiri kesan dimamah suasana, pengaruh dan pendidikan Barat yang menguasai media massa, sistem dan cara mereka berfikir setiap hari dalam masa yang panjang ? Disebabkan kurang sensitif dan kemunduran jiwa seperti ini, orang-orang bukan-Islam lebih terbuka dalam mengemukakan sesuatu yang sensitif, berbanding dengan dekad dan zaman sebelum ini ?

Semoga Allah swt menguatkan jiwa umat Islam, membawa mereka kearah memahami dan menghayati agama mereka yang benar iaitu Islam. “Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib suatu kaum sehingga mereka merubah apa yang didalam jiwa mereka sendiri” (Al-Quran).

Ustaz Halim   www.inijalanku.wordpress.com

January 3, 2010

InshaAllah (Maher Zain) covered by SOHWAH

Filed under: video — perjalananjauh @ 3:15 pm
Nasheed cover daripada kumpulan SOHWAH (Pembina).. Semoga terhibur..

INSHAALLAH – MAHER ZAIN

Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost there
That you so alone
All you see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can`t see which way to go
Don`t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insya Allah3x
Insya Allah you`ll find your way
Everytime you can make one more mistake
You feel you can`t repent
And that its way too late
Your`re so confused,wrong decisions you have made
Haunt your mind and your heart is full of shame
Don`t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insya Allah3x
Insya Allah you`ll find your way
Insya Allah3x
Insya Allah you`ll find your way
Turn to Allah
He`s never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
OOO Ya Allah
Guide my steps don`t let me go astray
You`re the only one that showed me the way,
Showed me the way 2x
Insya Allah3x
Insya Allah we`ll find the way

This song originally from Maher Zain
credits to him.. 🙂

Mereka yang terlibat dalam pembikinan video ini:

Nazmie : (Bongo+Udu player)

Hazri : (Guitar player)

Hakim : (Solo)

Darul Ikhwan : (Rumah Rakaman) 🙂

December 19, 2009

PEMBINA Di KASBI Nasional 09

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 8:35 pm

Kelihatan gagasan kontinjen memenuhi perkarangan Astaka Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan pelbagai ragam dan uniform seawal pukul 8 pagi. Setiap kontinjen membawa sepanduk masing-masing yang melambangkan kegagahan dan kemegahan kontinjen masing-masing. Sekitar jam 9 pagi, kira-kira 600 orang peserta Karnival Sukan Belia Islam Nasional (KASBI) 09 sudahpun berbaris segak di hadapan astaka untuk acara perasmian. Kontinjen yang hadir terdiri daripada belia dan beliawanis yang datang dari seluruh negara, termasuk kontinjen daripada Johor, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Perlis dan Pahang. 3 acara dipertandingkan untuk kategori belia iaitu bola sepak 6 sebelah, bola keranjang dan bola tampar. Manakala bagi beliawanis bola tampar dan bola jaring dipertandingkan.

Tahniah diucapkan kepada semua kontinjen yang berjaya menghadirkan diri serta mempamerkan semangat kesukaanan yang ama tinggi, terutama kepada sebahagian besar daripada peserta yang datang daripada luar Selangor! Kemeriahan telah bermula. Teruskan berentap wahai para Jaguh!

December 5, 2009

Nikmat Perkahwinan?

Filed under: sembang muda — perjalananjauh @ 4:06 pm

Khutbah Jumaat di Masjid KLCC semalam dibaca khatib dengan agak tenang. Bersesuaianlah dengan cuti persekolahan yang sedang beralu.

Setiap kali cuti sekolah, berebut-rebutlah bakal pengantin baru memilih tarikh. Kadangkala ada yang bergaduh hanya kerana tarikh yang dipilih bertindih dengan jiran sebelah, maka mereka bermasam muka.

“Nikmat perkahwinan” Tajuk Khutbat Jumaat semalam. Bagi yang bujang, seronok mendengar perihal kahwin nie.

Saya sebenarnya berangan sebaik sahaja tajuk itu disebut oleh khatib. Maka saya tidak mendengar sangat apa isinya, tapi yang pasti ada sedikit menyentuh peranan institusi keluarga dalam memmbina nilai Islam.

Selebihya, saya berada di alam saya sendiri. Saya tidak berangan tentang seronoknya kahwin atau saya mahu kahwin. Tidak. Tetapi saya tefikir, benarkah perkawinan itu penuh dengan nikmat?

Kalau ya, dari segi manakah nikmat itu akan kita perolehi?

Satu ketika dulu ( seingat saya 2007-hujung tahun), saya adalah antara orang yang suka membincangkan isu perkahwinan dengan rakan-rakan di Baitul Junud( Rumah lama di seksyen 9, Bangi). Seronok, bahagia. Bila berbincang terasa seolah-olah diri telah besar sangat, dah matang.

Sehinggalah pada akhir 2008( seingat saya), saya tiba-tiba berhenti daripada perbincangan ini. Sebolehnya, saya akan cuba mengelak daripada berbual perihal perkahwinan, dan kadangkala terkeluar pada mulut saya ” aku nak kahwin lambat”.

Sebabnya mudah sahaja.

Saya tahu perkahwinan itu mulia, tapi adakah betul kita memuliakan perkahwinan?

Ataupun kita selama ini hanya mengAGONGkan perkahwinan tanpa memuliakan perkahwinan?

Saya melihat, perkahwinan di zaman ini terlalu berlebih-lebihan dan terlalu dipersusahkan. Langsung tidak dimuliakan.

Perkahwinan yang begitu sukar, hantaran yang begitu tinggi, perlu ada gaji tinggi, atau pun sekurang-kurangnya sudah ada duit RM15K barulah boleh bersedia untuk memulakan perkahwinan.

Maka si pemuda pun bertungkus-lumuslah mencari kewangan, belum pun langsai hutang pelajaran, sudah bawa proposal pinjaman ke bank-bank meminta modal perkahwinan pula. Jika mak bapak kaya tidak mengapa, jika terkahwinan dengan anak sang kaya? Tak sah kalau majlis tidak di dewan-dewan besar dan hotel-hotel.

Malulah dipandang orang jika majlis kecil.

Kawan ayah ramai dato’-dato’, nanti datan tengok kecil je, malu ayah.

Mak nak anak perempuan mak nie gembira, sebab tue majlis kene besar.

Kau tu kahwin dengan jurutera, takkan majlis 500 orang je? Mestilah 20 ribu datang kan?

Apakah lagi alasan-alasan yang selalu digunapakai? Banyak.

Ada seorang rakan saya yang berkahwin awal, majlisnya di buat di dewan besar FELDA. Harga baju pengantinnya sahaja sama dengan duit pinjaman saya satu semester. Setelah berkahwin, duit bayar tol pun meminjam pada kawan( Harga tol di Kajang Silk =RM1). Alasan, duit dah habis masa kahwin.

Saya meliha reality ini saban tahun. Mungkin kerana saya tinggal di Bangi yang dipenuhi oleh sang kaya maka saya melihat perkara ini. Dan kebanyakkan rakan( Bukan dalam gerakan Islam) yang saya temui berkata ” Lebih baik (mudah) kahwin tanpa nikah( zina), tak kene duit, just sewa hotel sahaja” Nauzubillah.

Saya masih tidak ampak contoh yang jelas, bagaimanakah perkahwinan dan majlis yang sepatutnya. Saya diceritakan tentang perkara yang disukai rasulullah ialah perkahwinan tapi manakah contohnya yang terbaik kini? Tiada.

Jika sebelum berkahwin telah berhutang, dimanakah nikmatnya? Jika nikmat hanya diukur pada keperluan seks sahaja, adakah itu sahaja nilai nikmatnya?

Berlebih-lebihan itu membebankan.

Manakah yang lebih penting? MengAGONGkan majlis perkahwinan atau memuliakan hari selepas majlis perkahwinan? Saya rasa, memuliakan hari selepas perkahwinan adalah yang lebih utama.

Saranan

Oleh itu saranan saya,

  1. Sebagai seorang muslim yang beriman, kita hendaklah mencari pasangan yang sekufu dengan kita. Elakkanlah perbezaan darjat(jika boleh) yang tinggi, kerana ia akan membebankan.
  2. Berbincanglah dengan keluarga, apakah matlamat sebenar yang patut dicapai, kelayakkan kita, dan kepercayaan keluarga sebelm kita serius dalam hal perkahwinan, jangan terlalu awal seronok bercerita isu perkahwinan sehingga melekakan( beli buku kahwin sampai 4 jenis tajuk nak buat apa? Banyak lagi isu lain).
  3. Berbincanglah dengan kawan( naqib, mas’ul) isu berkaitan membangunkan semangat dan peliharalah diri daripada dimanjakan.
  4. Tidak sepatutnya harga anak gadis disamakan dengan harga materi( petrol, harga barang, harga sawit dsb) sebagai alasan membebankan pihak bakal menantu. Akhirnya si pemuda nanti akan menjadi anak awak jua( dibawa lari tak balik-balik lagi haru, padan muka).
  5. Tunjukkanlah nilai kematangan kita, jangan mengharapkan lagi ibu bapa pada perkara remeh, cubalah membantu diri sendiri dan cubalah berdikari.
  6. Pupuk diri dengan kesabaran.
  7. Tumpukan objektif kepada hari selepas perkahwinan( perbaiki diri, membuat simpanan, merancang perlindungan), elakkan bergolok-begadai unuk Malis Perkahwinan.

Sekian, sedikit perkongsian.

AFIZHI ATAN

P/S- Selamat pengantin baru buat Amiruddin Husain yang akan diijabkabulkan pada 12 Disember 2009 dengan pasangannya Azizah di Besut , Terengganu. Moga Allah Memberkati Kalian Berdua. Amin.

P/S- Mak saya cakap, berikan dia RM 2 ribu untuk majlis perkahwinan saya ( murah dah tue), saya nak tengok hasilnya nanti..he..he..

December 2, 2009

Cinta Berkurap

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 9:09 am

Sepanjang beberapa minggu ini, saya telah mendengar satu perkataan yang amat menjengkelkan.

Namun ianya memberi banyak peringatan dan perngiktibaran.

Perkataan yang pastinya semua orang tahu. KURAP.

Ya KURAP.

Mengikut kamus edisi pelajar ke-2, kurap bermaksud sejenis penyakit kulit yang menyebabkan gatal-gatal dan mudah berjangkit, Tinea Tonsurans.

Kali pertama saya dengar untuk beberapa minggu ini ialah ketika di rumah, seseorang menyuruh saya membeli sejenis minyak Cap Senapang. Tujuannya? Untuk mengubati penyakit kurap seorang ahli keluarganya yang baru sahaja dijangkiti. Oh, KURAP.

Kali kedua saya terdengar?

Ketika Malam Bina Iman Dan Taqwa( MABIT) di Gombak. Membincangkan perihal cinta yang hakiki. Tatkala penceramah bertanya, apakah makna CINTA? Kami menjawab… “Cinta umpama KURAP, makin digaru makin sedap.” Terhambur tawa daripada rakan lain. Makna ungkapan itu mudah, cinta boleh mengkhayalkan, seperti orang yang khayal tika menggaru KURAPnya.Ah, KURAP.

Kali ketiga pula, masa saya di Surau Menara eTiQa, Jln Pinang .Ustaz Zulkifli, seorang penceramah untuk Kuliah Sebelum Zohor. Katanya ” Pendakwah jangan jadi seperti orang menjual Ubat KURAP. Kehulu kehilir mencari pelanggan, belilah ubat KURAP in bang, ia amat berkesan. Pada masa yang sama, dia menggaru KURAP yang penuh menggerutu di badan sendiri.” Tangan ustaz menggaru-garu badan, menunjukkan aksi penggaru KURAP, manakala sebelah lagi menunjuk-nunjuk ke langit, meniru aksi penjual ubat.Wah,KURAP.

Hari ini saya membaca blog merapu dan merepek, orang yang bertelingkah, dan mencari setiap detik kesalahan orang. Hati saya berkata, ” Inilah blog KURAP”.

Bak kata peribahasa,

Campak Baju Nampak Kurap,

Seperti Anak Kacang Hantu

Pesan saya, hentikan kekurapan yang ada, ambillah pengajaran dan hentikan kebiadapan. Dari perkaaan yang bernama KURAP.

-Nasihat Buat Blogger-

« Previous PageNext Page »

Blog at WordPress.com.