perjalananjauh

July 9, 2010

Agenda Melayu; Isu Dan Cabaran

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 5:22 pm

Catatan dan kertas kerja ini telah diterbitkan di www.mindamadani.my .Amat tertarik dengan isi dan faktanya dan inilah yang seharusnya difahami oleh kita serta ditambah dengan kefahaman jelas terhadap Islam- Afizhi Atan-

Oleh: Prof. Madya Shaharuddin Badaruddin
Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi
Universiti Teknologi Mara
Cawangan Sarawak

PENGENALAN

Kertas kerja ini bukanlah satu percubaan untuk menafikan betapa pentingnya kepesatan pembangunan yang berlaku dalam negara ini ataupun ia bukanlah satu perbincangan untuk menafikan peranan yang dimainkan oleh kaum yang lain, tetapi ia hanya merupakan satu perbincangan untuk melihat akan kesan dan akibat kalau proses pembangunan dan kemajuan yang pesat ini jika tidak dibuat secara berhati-hati akan menyebabkan kesan yang besar terutama kepada orang Melayu. Atas nama globalisasi dan juga cita-cita untuk menjadi sebuah negara maju, maka banyak hak dan agenda Melayu dalam aspek sosio, ekonomi dan politik tergendala kerana keghairahan ini. Apabila menyebutkan agenda Melayu, terdapat beberapa peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menunjangi agenda tersebut.

Unsur-unsur tesebut adalah sistem beraja, Bahasa Melayu, agama Islam dan kedudukan istimewa Melayu. Kertas ini akan cuba membincangkan isu-isu yang menyentuh hak Melayu ini disamping cabaran-cabaran yang dihadapi dalam memperjuangkan hak Melayu ini. Cadangan akan juga dikemukakan untuk melihat tindakan yang boleh dilakukan oleh Yayasan Budaya Melayu Sarawak dalam mengenegahkan hak ini.

ISU AGENDA MELAYU

Sejak tahun 1990an, isu hak Melayu semakin lama semakin terpadam dalam agenda politik negara. Isu ini akan muncul apabila haknya dipersoalkan oleh kaum yang lain. Dalam ertikata yang lain, hak Melayu ini cuma menjadi benteng sebelum terhakis dengan lebih lanjut. Ia lebih bersifat defensif daripada ofensif. Perkara yang paling ditakuti untuk dikemukakan, takut-takut akan menyinggung perasaan kaum yang lain. Ada juga yang merasakan bahawa Hak istimewa Melayu janggal untuk diperjuangkan dalam orang memperkatakan tentang hak demokrasi, globalisasi dan sebagainya. Malah sudah ramai yang merasakan bahawa ujudnya hak istimewa Melayu adalah setting daripada sebelum kemerdekaan. Kontrak sosial* yang timbul sebelum merdeka tidak boleh di gunapakai sekarang ini. Ia perlu dirombak untuk memastikan supaya historical garbage yang melanda masyarakat tidak menghantui pembentukan masyarakat Malaysia yang lebih moden. Kerana itulah parti-parti politik Melayu dan kumpulan seminat agak keberatan untuk memperjuangkan isu ini, takutkan kehilangan sokongan dan undi dari kaum yang lain.

 
 

Di dalam aspek politik yang lain pula, kadangkala terdapat pernyataan politik yang selalu mengaitkan bahawa perjuangan hak Melayu ini adalah hak perjuangan parti mereka. Sedangkan dari segi hakikat yang sebenarnya tidak ada parti politik yang boleh mendakwa bahawa mereka merupakan penjaga kepada hak istimewa orang Melayu kerana Perlembagaan Persekutuan telahpun menetapkannya. Ia tidak seharusnya menjadi bahan untuk berkempen ataupun menjadi bahan kepada bola sepak politik. (Aziz Bari : 2001)
Dari sudut bahasa pula, kelemahannya ketara dari sudut perlaksanaannya. Terdapat dua sektor yang memisahkan bahasa, iaitu sector awam yang sepatutnya menggunakan bahasa Melayu dan sektor swasta yang menggunakan bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris. Jurang penggunaan bahasa yang semakin memuncak pada tahun 1980an dan 1990an di tambah oleh faktor-faktor lain seperti pertamanya dasar penswastaan yang tidak mengambil kira peranan bahasa Melayu dan keduanya ialah dasar penggunaan bahasa Inggeris yang cukup liberal dalam sistem pendidikan tinggi. (Hassan Ahmad : 2001). Dasar penswastaan telah menyebabkan penggunaan Bahasa Melayu disempitkan lagi dan dalam media komunikasi, penggunaan bahasa telah mula menjadi terpencil. Perkembangan ICT pula tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dominan.


Perkembangan yang paling mencabar ialah ujudnya ratusan IPTS yang menggunakan bahasa Inggerisa sebagai bahasa pengantarnya. Keadaan ini akan mengekalkan sektor swasta berbahasa Inggeris sebagai sektor pembangunan negara yang berpengaruh dan berkuasa menentukan dasarnya sendiri. Kedudukan dan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi terutamanya bidang teknologi dan perniagaan semakin hilang. Sektor swasta pula semakin ghairah untuk menerima lulusan IPTS daripada luhusan IPTA semata-mata kerana lulusan IPTS terdidik dalam bahasa Inggeris. Keghairahan IPTA untuk menukarkan bahasa pengantar kini adalah lanjutan daripada perkembangan ini.

CABARAN

1. Tafsiran Perlembagaan tentang hak Melayu masih belum muktamad
Dalam polimik yang berlaku kini terdapat dua tafsiran mengnai hak Melayu menurut perlembagaan. Adakah ianya kedudukan Istimewa orang-orang Melayu (special position) atau hak istimewa orang Melayu (special previllege). Kedua-dua konotasi ini membawa kepada tafsiran dan kemudianya perlaksanaan yang sangat berbeza. Sudah tentu kesan tafsiran ini kepada perlaksanaan agenda Melayu menurut perlembagaan akan terjejas. Kegagalan menafsirkan isu ini secara tepat akan menyebabkan isu ini akan sentiasa diperdebatkan dari masa kesemasa.

2. Kehendak politik (political will) dalam mempertahankan agenda Melayu

Trend terbaru menunjukkan bahawa tafsiran kedudukan istimewa orang-orang Melayu semakin dilunakkan. Sepanjang sejarah perjuangan politik Melayu selepas merdeka, akan ada dua kelompok Melayu yang bertentangan dari segi ideologi dan orientasi perjuangannya. Kalau ada kelompok-kelompok kanan yang berusaha untuk meMalaysiakan agenda Melayu maka akan timbul kelompok far left yang akan membawa tafsiran yang terlalu keMelayuan yang akhirnya menstabilkan semula isu kedudukan istimewa orang Melayu. Sebelum kemerdekaan, kelunakan IMP telah diimbangkan dengan nasionalisnya UMNO. Kemudian selepas merdeka UMNO telah diimbangkan dengan Parti Negara dan PAS. Sehingga tahun 1970an, isu ini telah disemak dan imbangkan (check and balance).

 
 

Tetapi kini seolah-olah tidak ada semak dan imbang menyentuh isu-isu Melayu terutamanya selepas Pilihanraya Umum 1999 apabila bahasa politik sudah ditukarkan kepada bahasa undi. Dalam usaha untuk mengambil hati kelompok kedua dalam masyarakat, maka parti-parti besar Melayu/Islam dalam negara sudah mula takut untuk membicarakan tentang hak Melayu tanpa mengaitkannya dengan hak samarata semua kaum. Walaupun memang itulah yang patut ditekankan dalam Islam dan pembentukan sebuah negara demokrasi tetapi kadangkala dalam keghairahan berpolitik maka timbullah beberapa gagasan yang bercanggah dengan perlembagaan itu sendiri. Isu orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri ataupun perlaksanaan sistem meritokrasi adalah gejala yang menghangatkan lagi permintaan yang bukan-bukan dari kaum yang lain. Akhirnya siapa yang hendak menjadi kelompok far left dalam menafsirkan perlembagaan itu supaya akan berlaku check and balance. Adakah ianya patut diserahkan kepada parti-parti politik yang mana pertimbangan undinya lebih banyak mempengaruhinya berbanding dengan perjuangan agenda Melayu ataupun peranannya perlu diambil alih oleh Sektor Ketiga* orang Melayu, yang merupakan badan-badan gabungan pertubuhan Melayu dan individu. Strategi sebegini telah berjaya dilakukan secara berkesan sepertimana yang dimainkan oleh Suqui iaitu badan-badan gabungan rayuan Cina semasa pilihanraya 1999.

3. Aspek psycho-social masyarakat Melayu
Dikalangan generasi muda Melayu/Islam sekarang ini, mereka lebih bersikap apologetic dan defensive dalam mempertahankan haknya. Apabila timbul beberapa gagasan yang mengatakan bahawa dasar-dasar dan agenda Melayu terutamanya dalam Dasar Ekonomi Baru telah mendiskriminasikan kaum-kaum lain, maka kelompok muda yang hilang hujah akan mengiyakan saja pandangan ini. Sikap sebegini timbul kerana kegagalan mereka untuk memahami beberapa peruntukan yang terdapat di dalam perlembagaan dan juga fenomena buta sejarah yang timbul daripada sistem pendidikan yang tidak menekankan kepada aspek-aspek persejarahan. Apa yang perlu dilakukan adalah memberikan pendedahan perlembagaan kepada seluruh lapisan masyarakat terutamanya generasi muda supaya mereka mempunyai pengetahuan dan maklumat lengkap tentang haknya sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Peranan Yayasan Budaya Melayu Sarawak boleh dipertingkatkan dalam menekankan aspek ini kepada seluruh pelajar Melayu/Islam di Sarawak.

4. Cabaran dari bukan Melayu
Perlaksanaan dasar tentang hak Melayu dan perlaksanaan DEB dalam tahun 1970an sudah tentu membawa perasaan tidak senang kepada bukan Melayu. Kekuatan yang bakal dimiliki oleh orang Melayu dari aspek sosio-ekonomi sudah tentu menjejaskan satu-satunya kekuatan yang dimilikinya. Kerana itu mereka mengambil pendekatan social closure dimana peluang sosial dan ekonomi yang dinikmati mereka ditutup kepada kelompok lain. Ia tidak berlaku dalam bentuk undang-undang, tetapi berlaku dalam bentuk kumpulan. Antara langkah yang dilakukan ialah self declared economic salvation dan juga digerakkan oleh pertubuhan-pertubuhan Cina seperti clan associations, trade guilds, dewan-dewan perniagaan, pertubuhan alumni dan pertubuhan agama. Kelahiran IPTS swasta juga telah menjadi medan untuk menyemarakkan lagi sistem pendidikan Cina di Malaysia. Suasana ini sudah tentu menambahkan jurang dan akhirnya menimbulkan perasaan tidak puashati dikalangan orang Melayu yang merasakan diri mereka sentiasa tertinggal.

CADANGAN

Untuk menjamin hak ini dan juga meneruskan agenda Melayu, beberapa perkara harus dipertimbangkan. Dicadangkan beberapa perkara untuk diambil tindakan.

1. Menjadikan Yayasan Budaya Melayu Sarawak sebagai wadah untuk menghimpunkan, menyatukan dan melahirkan aspirasi Melayu di Sarawak dengan mengumpulkan semua pertubuhan Melayu samada perniagaan, dakwah, persilatan, politik, bahasa dan sebagainya dan menjadikannya sebagai sektor ketiga yang kukuh dan kuat. Menjadikannya wadah sepertimana yang dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan Cina seperti Dong Jao Zong, Suqui dan sebagainya.

2. Menjadikan bahan-bahan dalam wacana ini sebagai pemula kepada program celik Hak Istimewa Melayu kepada generasi muda supaya mereka tidak terlalu defensive atau apologetic apabila membincangkan isu yang berkaitan dengan orang Melayu. Kursus-kursus atau wacana sedemikian rupa boleh dilanjutkan keseluruh bahagian di Sarawak ini.

3. Meluaskan skop Melayu di dalam pentafsirannya dalam konteks Sarawak. Ia tidak saja merujuk kepada kaum Melayu sahaja, tetapi ia mesti mencakupi kaum bumiputera yang lain. Ini untuk mengelakkan apabila disebut Hak Istimewa Melayu, maka yang menjadi rujukan ialah kaum Melayu Sarawak. Adalah amat strategic kalau Melayu dalam konteks Sarawak akan merujuk kepada Bumiputera secara keseluruhannya. Ia boleh dilakukan dengan mengadakan siri wacana bersama dengan mereka.

 
 

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: