perjalananjauh

June 16, 2008

Itu dulu –dululah atok

Filed under: Fikrah — perjalananjauh @ 1:35 am

Harap maaf atas kelewatan pengendalian blog ini . Saya dan ahli rumah yang lain baru sahaja berpindah ke Seksyen 9 Bangi, jadi kami memerlukan masa untuk mengemas segala keperluan rumah kami. Maafkan kami sekali lagi. Namun, saya ingin menceritakan kepada rakan-rakan sekalian tentang atok.

Kesemua rakan-rakan pastinya ada atok bukan?

Begitu juga dengan saya. Saya mempunyai seorang atok yang rajin bercerita. Suka mengusik saya dan menyakat saya tatkala bertemu.

Kadangkala, atok adalah tempat saya meluahkan rasa hati saya. Tempat mengadu selepas ibu dan bapa saya. Tempat saya berkasih dan bermanja. Tempat saya menangis dan tersedu-sedu. Atok selalu membawa saya menaiki motosikal kapcainya mengelilingi kampung, dan membawa saya minum- minum di kedai Pak Cik Wahab. Ketika ibu menemani bapa saya yang terlantar di hospital, atok adalah orang yang menjaga saya, memasak untuk saya malah mengemas rumah tatkala saya dan adik-adik menyepahkannya.

Bukan pujian pada atok yang saya ingin war-warkan, tapi cerita atok yang pernah saya dengar. Kawan-kawan tidak perlu muak, atok kawan-kawan lebih baik daripada atok saya.

Hari itu seperti biasa atok berbaring di atas kerusi malas bewarna birunya yang terletak di bawah rumah. Atok memang suka berbaring di luar kerana udara kampung yang lebih nyaman dan menyejukkan. Bagi atok, hidup tanpa bunyi ayam dan angsa adalah pelik dan membosankan. “Bunyi itu adalah nikmat tuhan.” Kata atok.

Saya yang melihat atok seakan- akan tertidur, dengan senyap bergerak kebelakang atok. Sedikit demi sedikit saya menapak, badan dibongkokkan sedikit. Bila sudah betul berada dibelakang atok, nafas saya tahan-tahankan.

“Huuuuahh.” Saya jerit kuat –kuat, menyergah.

” Haip, haip. Iyah-yah cit ekau mambang. Mano kau den nak tembak. Dokek ko sini ekau mambang.” Atok bangun bersilat. Tuala kecil yang membalut tubuh atok tanpa baju dilibas-libaskan umpama cindai, kaki dikuda-kudakan tangan kiri bengkok dan jari –jemari digenggam sepenumbuk. Kepala atok lurus menghadap depan, atok melangkah dan tangan kiri menepuk peha. Gaya Panglima Awang dari Ayer Kuning. Setelah penat, atok berhenti. Manakala saya ketawa terbahak –bahak.

” Hantu punyo budak. Seb baek eden baru buat operesen jantung. Kalau tak maun eh gugur jantung den ni ha. Apo gillo eh ontah.” Atok sedikit marah.

” He he, itu tanda atok dah tua.” Saya menjawab, selamba poyo je.

” Nak apa? Lapar ke? Jom atok belanja makan kat kedai Wahab nak? Makan roti canai.” Atok bersuara. Garis kedut pada muka atok mula berubah kepada senyuman.

” Tak pelah atok, kedai tu mahal. Ade ke patut jual roti canai 80 sen.” Saya mula berkomentar tentang harga barang yang mula naik.

” Dulu murah je, 70 sen.” Tambah saya lagi.

Atok kembali duduk di kerusi malasnya, menarik tangan saya dan mendudukkan saya di hadapannya.

” Cu, jangan cakap hal dulu. Dulu takkan same dengan sekarang. Memang tak pernah sama melainkan manusia dan wataknya sahaja.” Atok pula berkomentar.

” Ape tok? Tak pahamlah.” Saya bingung.

” Masa atok muda-muda dulu..” Atok bercakap tapi saya memintas.

” Ha, citela tok. Kenapa masa atok muda- muda?” Bangga je saya bersuara.

” Ish budak ni. Eden nak cito la ni. Potong boto la, losing kang. Putuih kepalo.” Geram atok.

“.. masa atok muda- muda dulu, roti canai tu baru je 3 sen. Atok pergi sekolah atok makan roti canai dengan air 2 sen. Baru 5 sen, lagi 5 sen atok pergi la beli ape-ape barang yang atok nak, pensel ke, pemadam ke. Atok masa tu dapat 10 sen daripada moyang kau.” Atok cerita.

” Oo. Itu dulu –dululah atok. Sekarang mana dapat. Milo pun dah seringgit.” Saya pula menjawab.

” Atok tak top-up handset yek dulu?Kalau seposen, mana cukup nak top-up. Masa tu macamane atuk bergayut dengan nenek? Saya selalu tengok abang Edi taip mesej laju-laju. Dia cakap dia mesej untuk awek dia.” Saya bercerita pula.

” Kau ni, masa tu atok mana ada gune handset. Handset pun tak wujud lagi.”

” Abistu tok, macamane boleh kenal-kenal?” Saya pelik.

” Dulu atok tak macam korang. Apa yang moyang kau suruh, itu yang atok buat. Hitam kata moyang kau, hitamlah atok kata. Putih kata moyang kau, putihlah atok kata walau pun memang hitam warnanya. Atok tak reti nak melawan kata moyang kau.”

” Masa atok nikah dengan nenek kau, atok tak kenal pun siapa dia. Masa tu atok baru balik dari memotong getah dekat kebun pinggir. Sampai je rumah , moyang kau panggil suruh duduk depan dia. Dia kata nak kahwinkan atok. Atok diam je la, angguk sedikit. Itu pun bukannya tanda setuju pun, tapi atok terangguk sebab kene sergah dengan moyang macam singa. Atok nak tahan kencing, sambil pegang celah kangkang, atok terbongkokkan badan. He he.” Atok sedikit ketawa mengingatkan.

” Lepas tu, moyang kau terus pergi pinang nenek kau. Walhal atok suka kat Milah kampung sebelah dulu, lagi cun. He he. Jangan beritahu nenek kau pulak ye.” Atok selamba.

” He he. La mudahnya. Mana dibuat orang dah tu tok. Itu dulu-dululah tok. Sekarang nak nikah mesti kene kenal-kenal dulu. Abang Edi cakap, kita kene mengorat perempuan tu dulu, kemudian minta nombor telefon. Malam tu, kita terus telefon dia tanya khabar. Kalau boleh ajak keluar dulu, minum-minum. Tak pun abang Edi kata, ajak pergi Mc Donald dulu, belanja makan. Pastu tangkap gambar gune handset,berdua. Rapat-apatkan kepala,tangkap gambar sendiri. Buat-buat alasan nak tangkap gambar supaya kepala boleh sentuh sikit.” Saya pula galak.

” Mana dibuat orang de masa atok dulu. Buang tobiat ko apo?” Atok sedikit mengeras.

” Atok mesej nenek macam mane pula?” Saya cube menyambung.

” La, dulu lagi atok dah amalkan pos laju, sebelum wujud kat Malaysia ni tau. Atuk pos laju kan kat kawan atok, Seman Tencot. Atok bayarlah kat dia 20 sen. Maklumat dirahsiakan lagi tu. Hu selamat, diyakini berkesan.” Atok senyum.

” La. Apa yang bestnye kalau macam tu? Tak de dating-dating. Abang Edi ajar, dating dulu.” Saya bingung, mana mungkin. Tak syok langsung orang tua ni.

” Ha kau nak tau syok ke tak, waktu pertama kali atok jumpe nenek kau lepas nikah. Ya Allah, nikmat betul. Kalau kau nak tau, kau nikah cepat. Khitan dah keringkan? He he.” Atok sempat mengusik.

” Atok nie. Ada ke tanya tuh.” Saya tersipu malu.

” Tapi itu dulu- dululah tok. Orang dulu –dulu mana best. Tak de mercun.” Saya tiba-tiba mengungkit hal mercun.

” Kami ni dah moden, mercun dah banyak. Thunder Cat, Thunder Flash, mercun bola, mercun ketupat, mercun tebuan, banyak lagi la tok. Best je kami letupkan terutama lepas berbuka puasa bulan Ramadhan. Kadang-kadang, kita nampak abang Edi letupkan dekat belakang masjid tu, masa orang tengah solat ramai-ramai. Kata Abang Edi, usik oranglah best. Terutama usik Imam Rustam, sengaja bagi Imam tergagap baca surah.” Saya cerita.

Muka atok tenang.

” Masa zaman atok muda- muda, siapa kata kami tak main mercun. Lagi best, kami buat sendiri pula. Guna Carbait dengan buluh. Tapi, masa kami dulu, kami tak main selepas berbuka puasa. Lepas buka, atok dengan kawan –kawan pergi masjid solat terawih. Atok tunggu sampai abis solat, baru kami buat mercun dan meriam. Itu pun berhenti sebelum pukul 10.30 malam. Takut mengganggu anak kecil nak tidur. Lepas je main, terus kami ke masjid ramai –ramai. Tidur terus kat masjid sebab selalunya masjid akan jamu orang kampung untuk sahur.” Atok menyambung.

” La , tidur masjid banyak nyamuk la.” Saya seperti tidak puas hati.

” Nyamuk dah bosan tengok atok. Kalau yang datang pun, nyamuk betina je untuk goda atok. He he.” Ada je lawak bengong atok sertakan.

” Ala, itu dulu-dululah tok. Sekarang mana ada orang tidur masjid, masjid pun kunci. Mana boleh masuk.” Saya bercakap sesedap hati.

” Tapi tok, masa atok kecik dulu, mesti boringkan? Macam mene atok nak main komputer? Nak tengok TV? Nak tengok internet? Mesti duduk rumah, diam je. Tak pun atok tidur je yek?” Cewah,soalan daripada budak mentah.

” Mana nak dapat internet-internet, segala net –net, segala game- game tuh. Tu permainan budak lembut, pondan je. Membodohkan diri depan komputer. Atok dulu dengan kawan –kawan semuanya kuat-kuat. Kami pergi mandi kat sungai sambil buat segala jenis lompatan. Gaya Superman la, gaya lipas, gaya bom, gaya mentadak-mentadu dan gaya katak air. Seronok, semua lompat daripada tebing tinggi. Itu barulah lelaki. Lepas habis mandi, atok terus main kejar-kejar dengan kawan. Hu bukan dekat-dekat tau. Sampai ke pekan atok kejar kawan atok. Tu si Seman Tencot tu, nampak je tencot jalan terenjut-enjut, tapi bila lari fuh. Laju betul, tapi atok tak selalu kejar dia sebab atok akan gelak dulu puas –puas bila tengok dia lari. Macam Charlie Charplin je gaya dia lari. He he.” Atok bercerita, sedikit membodohkan diri budak-budak kini yang duduk depan komputer. Sempat juga sedikit mengutuk. Alahai atok.

” Itu dulu- dululah tok. Sekarang mana dapat, sungai semua kotor. Nak pergi pun ibu tak beri, takut berpenyakit katanya.” Saya sedikit kesal.

” Erm, itulah beza dulu dan sekarang. Jadi, jangan cerita hal dulu, tak mungkin akan sama. Cume cucu atok mesti selalu pandang depan. Sebab yang di depan yang akan kita tempuh sedangkan yang dibelakang ditinggalkan lapuk.” Atok bangun sambil bersuara.

Tangan saya dipimpin berjalan ke dalam rumah, sambil mulut atok bergurindam seloka.

Hai Cik Siti orangnya bijak….

Bila ku pandang hatiku rosak…

Cak pong…

Cak pong….

Itulah beza dulu dan sekarang. Saya juga terasa bezanya. Paling terasa .

Dulu

Remaja bersopan, hidupnya aman

Kini

Remaja rosak hidupnya melawan

Dulu

Masjidnya penuh zikirnya panjang

Kini

Masjidnya kosong tidurnya panjang

Dulu

Hobinya sihat tangannya kuat

Kini

Mindanya singkat akalnya mangkat

Yang penting

Dulu

Atok masih ada

Kini

Tiada lagi ATOK.

6 Comments »

  1. adui…aku pun rindu atok aku laaa.

    Comment by aku — June 16, 2008 @ 12:17 pm | Reply

  2. Salam. The way you write is really intriguing. Credit to you btw.
    Keep your momentum to write something like this again..kind of beneficial story for teens out there

    Comment by Mencari Sinar — June 16, 2008 @ 2:29 pm | Reply

  3. nice story that u get there
    ur wording is just nice and it make me read the story to the end
    keep up yhe good work and i’ll surely love to read more on yours

    Comment by azrai — June 16, 2008 @ 3:48 pm | Reply

  4. rindu kt atok…masa atok meninggal, ana x dapat g pengebumiannya..astaghfirullah…
    berdoalah untuk atok kte. tanpa mereka, ibu bapa kte takkan lahir, tanpa ibu bapa kte, kte takkan lahir.

    Comment by ezzat — June 16, 2008 @ 11:06 pm | Reply

  5. Syabas akhi. Moga terus menulis buat makanan rohani ummat yang rohnya kebuluran…

    Comment by annajm5 — June 19, 2008 @ 8:26 am | Reply

  6. erm..ana pon tak pernah kenal sape atuk n nenek..tp tkpe,sape pon mereka..praise be to God sbb melahirkan parents kite..kn?=)
    semoge ditempatkan bersama org2 yg beriman..amiin..
    barokallahu fiik..

    Comment by nazira alis — July 8, 2008 @ 9:09 am | Reply


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: