perjalananjauh

April 22, 2008

Tol “ AKHIRAT ”

Filed under: Fikrah — perjalananjauh @ 1:49 am

Lebuh raya kita

Kenari gold colour milik Hakim meluncur laju di Lebuh Raya Utara-selatan menuju ke Seremban. Di sebelah kiri masih kelihatan Malaysia-France Institute (MFI )terletak bersebelahan dengan sebuah masjid berbumbung kuning, betul-betul hampir dengan lebuh raya yang kami lalui.

Lebuh raya tiga lorong sehala ini kelihatan agak lengang, yang berderet adalah lori-lori tangki minyak di lorong kiri, beberapa buah kereta Proton Wira dan Perodua Kelisa di lorong tengah, dan kadang kala Proton Waja dan Mercedez Benz memecut laju di lorong paling kanan.


Kehijauan pokok-pokok di kiri kanan amat menyenangkan mata kami, redup di kejauhan pandang, sejuk menyelinap jiwa. Kita masih teguh menjaga fauna.Hati sekadar berbisik.

Ketika sampai di susur keluar ke Nilai, Kenari gold dibelokkan.

” Adzim sedang tunggu kita di Apartment Sutera Indah, kita ambil dia dulu, baru kita ke Seremban” Hakim bersuara tanpa berpaling, seakan-akan tahu persoalan yang bermain di benak kawannya.

Suasana di dalam Kenari gold senyap seketika. Yang ada hanya bunyi angin yang menyembur keluar dari air-conditioner , menyejukkan suasana pukul lapan pagi itu.Kenari gold mula membontoti sebuah lori tangki milik Shell, perlahan sahaja menuju ke sebuah plaza tol.

500 meter..Kehijauan bumbung plaza tol mula kelihatan.

400 meter..Jumlah lapan lorong tol telah dapat dikira.

300 meter..sebuah kereta Mercedez Benz laju menuju ke lorong Smart TAG, berhenti seketika dan terus berlalu meninggalkan tol semakin jauh.

200 meter.. sebuah Proton Wira Aeroback, menuju ke lorong dua. Mungkin kerana terlalu laju, kereta itu telajak ke hadapan sedikit daripada kaunter pembayaran. Nyaris terlanggar tiang hitam berbelang kuning yang melintang di hadapannya. Mahu mengundur, tetapi terlambat. Datang lagi sebuah Toyota Corrola berhenti betul di belakang Proton Wira Aeroback. Pemandu kelihatan marah. Namun dia perlu cepat beredar.

Kelihatan di dalam kereta, suasana seakan-akan kalut. Pemandu Botak tertunduk -tunduk mencari sesuatu. Gelabah, kalut, cemas. Seat belt yang membaluti tubuhnya semacam menyesakkan pergerakan.

Lambat, lambat, lembab.

Pintu kereta terbuka, pemandu botak keluar berlari anak menuju ke kaunter. Menghulurkan sekeping kad, dan duit kepada Kakak Bertudung Hijau, si penjaga kaunter. Kakak penjaga kaunter seakan mengomel, ” Sediakan dulu wang secukupnya” Agak kami.

100 meter..Plaza tol menjadi gelap. Segelap malam tanpa purnama, tiba-tiba. Ya secara tiba-tiba.

Boom..

Boomm..

Kruup pom..

Meledak bunyi yang kuat, seakan meletupnya Nagasaki dan Hiroshima.

Kelihatan hanya belakang kereta Perodua Kancil di lorong tiga. Bila diamati, bahagian depannya kemik hingga separuh. Cat putih Si Kancil terkopek-kopek, bumper depan terkulai jatuh.Asap keluar daripada bahagian enjin.Tiang hitam berbelang kuning bengkok kedepan,namun tidak patah. Masih kukuh tertancap pada kotak hijaunya.

Suasana mulai bingit dengan siren keselamatan plaza tol.Kecoh. ” Cepat, cepat” Suara perempuan kuat menjerit. Pintu kancil terbuka, keluar seorang lelaki keding.Si Keding memandang kiri kanan , wajahnya cemas. Matanya terarah kepada Kakak Si Tudung Hijau di kaunter. ” Diamlah” Jerit Si Keding , marah.

” Cepat tolong, tangkap dia” Kakak kunter menjerit balik, tangannya terangkat-angkat separuh bahu. Jarinya lurus kearah Si Keding.Pada masa yang sama, dua orang abang berbaju biru tua, berlari deras dan pantas. Cuba untuk menerpa Si Keding.

Namun kerana tubuhnya keding, dia lolos. Berlari pantas meninggalkan Kancilnya yang sakit tenat kearah jalan raya dihadapan. Muka Si Keding gelabah. Lari selaju-lajunya. Lari lagi.

Abang berbaju biru tua mengejar sehingga akhirnya kaki Si Keding berjaya dibentes. Tangan Si Keding dilipat-lipat, mukanya diberi sebiji penumbuk sebagai hadiah larian jauh itu. Mana mungkin dia boleh lari, ini hukum alam.Tak mahu bayar tol konon. Bersalah tetap dihukum,wajib.


Lorong satu

Hakim menurunkan sedikit cermin Kenari gold, dihulurkan kad bersama tiga keping duit seringgit. Huluran disambut lembut,kakak penjaga kaunter senyum seakan-akan tiada apa pun berlaku di plaza tol itu sebentar tadi.Tiang hitam berbelang kuning terangkat membenarkan Kenari gold lalu.

Sebaik melepasi tiang hitam berbelang kuning, suasana berubah lagi.

” Bagi aku dulu, bagi aku dulu” Jerit orang dari belakang. Barisan panjang manusia sepanjang Tembok Besar China, sayup mata memandang ke belakang.

” Bagi aku dulu” Orang belakang menjerit-jerit. ” Aku tahu aku mampu, aku akan laju. Aku tahu aku boleh, aku sudah tidak sabar” Seorang pemuda berkulit bersih muncul, senyumnya panjang. Kelihatan tenang, langsung tiada peluh, mungkin tidak haus. Manusia lain? Keringat mereka sahaja sudah menjijikkan, nanah penuh dari kepala, hidung meleleh hingusan busuk. Eii gelinya.

“Hah lekas engkau dulu melintas, kalau engkau orang yang benar” Si perkasa di tepi jambatan memekik kepada orang tadi.” Cepatlah!”Lagi menjerkah keras. Muka pemuda tenang, langsung tidak takut dengan jerkahan, malah sempat mencebik. ” Lihat aku” Si pemuda bersuara. Langkah dimulakan, semakin laju ketengah jambatan, laju. Semakin laju, dan laju lagi. Jambatan sejauh seratus meter itu seakan sebuah trek olahraga bagi acara pecut sahaja baginya. Walhal api mendidih dibawah jambatan. Tersilap langkah, jatuh dan terbakar.Pemuda sampai ke penghujung jambatan sambil mendepakan tangan seolah-olah Nazmizan Muhammad ketika mejuarai acara pecut di sukan SEA.

” Alhamdulillah, saya dah agak. Saya mampu.” Laung pemuda dari sebelah sana.Lalu terus berlalu terlompat-lompat. Mungkin gembira. Manusia lain tidak gembira, makin menikus adalah. Seorang botak berperut boroi dihadapan sekali mula memandang ke belakang. Muka cemas jelas kelihatan. Kakinya setapak berundur ke belakang, menarik-narik kawan di belakangnya dan menolak-nolak yang lain ke hadapan.

” Aku tak nak, aku takut. Aku tak mahu, tologlah jangan paksa aku” Ujar Si Perut Boroi sambil menggigil. ” Arggghh, kau jangan nak main-main di sini yah. Engkau ingat ni Genting Highland yang biasa engkau kunjungi? Cepatlah wahai manusia bodoh!” Si perkasa megeluarkan bahasa gerun, garau lagi memekikkan. ” Cepatlah, jangan sampai aku tolak engkau wahai Boroi.” Si perkasa mengacah-acah. “Baik, baiklah. Jangan tolak.Aku pergi, aku pergi” Si boroi menjawab, takut-takut.

Kakinya mula melangkah perlahan. Satu-satu, belum pun sempat kaki kanan menjejak jambatan, badannya sudah membongkok ke jambatan. Jambatan dipeluk erat, kemas, kedap. Dia tak mahu lepaskan. ” Kau mahu jalan atau tidak hoi Si Boroi?” Si perkasa sudah mula geram.Bosan barangkali.

” Cepat!” Si perkasa menjerit marah, kakinya menendang perut si boroi. “Aduh” Si boroi mengaduh namun tangan dan kakinya mula merangkak-rangkak menyelusuri jambatan,lambat dan teramat perlahan. Sehingga di tengah jambatan, dia pandang ke bawah. ” Arghh, tolong. Tolong aku, api, api, api, aku takut ni, hoi tolong aku, panas dah badan aku ni.” Cepat mulutnya becakap. Hanya menambah gerun pada yang lain. Semua senyap kecuali Si Boroi. Lalu Si Boroi seakan-akan memejamkan mata, kemudian meneruskan rangkaknya. Mungkin boroi bernasib baik. Dia lepas hingga kehujung, walaupun kepala dulu mencecah hujung jambatan.

” Hah, siapa lagi?” Si perkasa bertanya, tetapi seakan-akan mahu menghukum. Lalu ditarik seorang keding, kepalanya darah dan bernanah. Hidungnya kembang-kuncup mengeluarkan hingus. Matanya kuyu seperti sangap, lidahnya terjelir-jelir melelehkan air liurnya yang bacin lagi tengik. Jalan terhuyung –hayang. Tiada berseluar tiada berbaju, siapa peduli kerana semua pun sama.

” Pergi lekas wahai Keding, kini giliranmu” Kata si perkasa.

Si keding jalan terhuyung-hayang, sekejap tujunya ke kiri jambatan, sekejap ke kanan. Tangannya mengapai-gapai seperti orang berjalan di dalam gelap. Langkahnya dikira manusia lain.

Satu, dua, kiri, kanan.

Mukanya sudah pasrah, tangisan menjurai jatuh dengan laju.

Tiga, kiri.

” Arghh, panassss” Jeritan terakhir yang kedengaran.Kemudian lenyap bersama bunyi dentuman kriuk-kriuk api di bawah jambatan.

Api semakin marak, Si Perkasa semakin menggila. Lepas ini siapa pula?

“Assalamualaikum” Suara Adzim memecahkan gambaran jambatan, api dan Si Perkasa.

Ditoleh ke kanan, hanya ada Hakim yang senyum tenang. Mukanya penuh dengan kelembutan. Pandang sahaja sudah cukup menenangkan fikiran.

“Alaikumsalam, erm Adzim. Naiklah” Hakim mempelawa, tangan dihulur tanda persahabatan.

” Kenapa muka enta syeikh? Macam takut je, mimpi ko?” Tanya Adzim sambil menepuk bahu saya dan terus duduk di bahagian belakang.Terkeluar sedikit loghat Negeri Sembilannya.

” Tadi, lalu tol tapi nampak akhirat” Jawab saya selamba.

” Hah?” Adzim terkejut, Hakim terpana tapi tetap meneruskan pemanduannya menuju Seremban. Semua tertanya-tanya,menanti permasalahan tanpa jawapan.

Al-Quran menjawab

Sirath adalah titian yang merentasi neraka. Semua manusia, dari yang awal hingga yang akhir, akan melaluinya. Setiap mereka yang melintasinya berdasarkan amalan yang dilakukan. Ada kalangan mereka yang bergerak sepantas kerdipan mata. Ada yang seperti angin rebut. Ada yang sepantas kuda. Ada yang berlari anak ada yang merangkak. Ada yang mengengsot. Ada yang jatuh kedalam neraka.di tepi- tepian terdapat banyak pencangkuk. Hanya Allah yang mengetahui bilangannya. Pencangkuk tersebut menyambar sesetengah makhluk kedalam neraka.

Firman Allah Ta’ala:

“Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya;(yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim( dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.( Maryam: 71-72)

Ibnu Mas’ud r.a. menafsirkan firman Allah Ta’ala :

“Cahaya mereka, bergerak cepat dihadapan mereka.”( at-Tahrim:8 )

Kata beiau: Mereka melintasi sirath dalam keadaan cahaya itu berpandukan amalan mereka. Ada kalangan mereka memiliki cahaya sebesar gunung. Ada yang sebesar pohon kurma. Ada yang sebesar lelaki yang berdiri. Yang paling kecil cahaya mereka ialah orang yang cahayanya berada di ibu jarinya,  sesekali menyala dan sesekali terpadam.

Anda cahaya yang mana?

Sudahkah anda bersedia?

Cukupkah bayaran untuk anda melepasi sirath?

Andai berjalan menyelusuri lebuh raya, jangan hanya memandang, tetapi memerhatilah. Perhatikan plaza tol, bayangkan akhirat.Moga cahaya kita paling besar. Amin.


4 Comments »

  1. alhamdulillah…akhirnya rezeki saya juga untuk membaca artikel yang terbaru ini…semoga kita dapat memilih lorong yang benar di dunia mahupun di sana nanti…

    Comment by nurh — April 22, 2008 @ 10:04 am | Reply

  2. Amin je ak tau,,haha!
    sbb tue name aku …

    Comment by komeng — April 22, 2008 @ 4:50 pm | Reply

  3. keep on reading..😀

    Comment by perjalananjauh — April 23, 2008 @ 8:57 am | Reply

  4. AlhamduLiLLah, bagus sheikh.

    Harap di teruskan…

    Comment by akhmohd777 — May 7, 2008 @ 8:10 am | Reply


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: