perjalananjauh

June 22, 2011

Kuala Pilah, 22 Jun 2011

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 10:45 pm

Saya Sudah kembali ke Kuala Pilah.

(Ini bukan gambar di Kuala Pilah, usah tertipu, Ini gambar di salah satu padang kriket bertaraf dunia, Lincoln Uni. chirstchurch ketika summer)

Perjalanan dari Kuala Pilah ke Bangi hanya mengambil masa selama 2 jam menaiki motosikal, tetapi saya perlu membiasakan diri dengan keadaan. Akhirnya blog ini mengambil masa selama 9 Bulan untuk di update. Betapa kelakarnya saya.

Afizhi Bin Atan

October 13, 2010

Masyaikh

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 6:36 pm

Baru sahaja terniat dihati (2 minggu lepas, tak la baru) nak pergi ziarah tuan Syeikh Abu Amar nie, Alhamdulillah dapat bersua muka di Rumah Terbuka Presiden ISMA dan JKP, Bangi.

Dulu, terlepas nak menziarah Almarhum Ust Dahlan. Terasa rugi pabila terlepas menziarah tatkala hidup. Harap boleh ziarah ramai lagi ulama, qudama’ dan para masyaikh selepas ini.

Amin

October 5, 2010

Demokrasi

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 2:06 am

Demokrasi itu apa?

Pilih orang sama-sama?

Pulun orang sama-sama?

Maki orang sama=sama?

 

Demokarsi itu apa?

Pilih kawan-kawan ‘setia’?

Tak sebulu entah kemana?

Baling kerusi kena kepala?

 

Demokrasi itu apa?

Undi hantu sapa punya?

Pecah kerusi, pecah meja?

Amuk sakan gila-gila?

 

Demokrasi itu apa?

Demonstrasi jalan raya?

Kita ambil Putrajaya?

Kita alih pemerintah Negara?

 

Orang ramai pening kepala

Tengok demokrasi Jalan raya

Tak cukup pecah harta

Pecah pula dewan serbaguna

 

Oh, ini dia demokrasi hang pa

Siapakah Ikhwan Di Malaysia???

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 1:48 am

Siapakah Ikhwan Muslimin Di Malaysia?

Persoalan yang tak lah begitu sukar nak dijawab, tapi dengan sengaja disusahkan. Terutama oleh diri kita yang rasa bangga kalau dapat title/branding/jenama/pengiktirafan dan suka pada penghargaan antarabangsa.

  1. Siapa peduli siapa ikhwan di Malaysia. Ada masyarakat kisah. Ada dapat hadiah? Adakah dijamin masuk syurga? Ada cop di dahi? Aku ikhwan kau tidak, dengar cakap aku, sape peduli? Sape suka?
  2. Dalam mencari ikhwan, kenapa tak beli je buku2 ikhwan. Baca je risalah taklim, baca je majmu’ rasail, baca je buku Abas As Sisi.
  3. Dengan mengaku diri ikhwan, dakwah kita laju ke tidak? Dakwah berkembang ke tidak? 10 tahun, dapat buat muktamar besar dengan ahli yang ramai macam Hassan Al-Banna ke tidak? Ada dah ke 3 juta pendokong dan penyokong?

Saya dah naik bosan dengan orang berebut nak jadi ikhwan. Berebut dan berperang unutk jadi ikhwan. Saya harap hujung tahun nie, semua perkara begini dah tak didengari. Bosan, jemu, dakwah tak lah bagus mana pun lagi kita nie, dok bergaduh je. Malu.

Teringat ayat Allah

” Syahidan alaikum wa takunu syuhada’a ala nnass”

Diakhirat kelak Nabi akan menjadi saksi (menentang) ke atas kamu semua dan kamu menjadi saksi (menentang) manusia yang lain.

Cukuplah ayat Allah menjadikan kita insan yang bekerja, supaya tiada mulut yang berbicara menentang kita di akhirat kelak. Amin

P/S- kalau jadi Ikhwan tu buatkan kita bergaduh, kau jadilah Ikhwan. Aku taknak. Ambik..

July 31, 2010

Melayu Tunjang Kebangkitan Islam

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 2:53 am

Penulisan ini cuba ditulis dalam bentuk ringan. Namun begitu, fakta yang agak berat mungkin terselit bagi menjamin kesahihan dan ketulenannyaa supaya menjadi bahan yang dapat dibincangkan oleh belia islam.


Pengenalan

Sejarah Melayu adalah satu aspek menarik untuk dikaji, malahan satu sejarah yang tidaklah terlalu panjang dan bukanlah pula sukar untuk difahami. Pengkajian dan penceritaan sejarah Melayu ini akan sepatutnya mampu meningkatkan jati diri seorang umat Melayu itu kearah yang begitu hebat, membanggakan dan sentiasa berjati diri. Namun, kelemahan orang Melayu kini sehingga hampir membiarkan dirinya diratah begitu menjadi kerisauan dikalangan para pemikir negara.

Parameswara dan Melaka

Sebenarnya, terdapat tiga unsur yang begitu menunjangi kekuatan sistem pemerintahan Melaka yang memang diketahui begitu gemilangnya itu. Unsur-unsur itu ialah Raja/ Sultan, pembesar bersama hierarkinya dan rakyat yang diikat dengan konsep daulat, tulah, taat dan derhaka.

Kesultanan Melaka hebat dengan bermulanya pengislaman Parameswara dengan pelbagai teori. Samada ahli sejarah yang mengatakan islamnya Melaka pada tangan Cina, malah pula mengaitkan dengan kehebatan pedagang India, bahkan menyamakan tarikh(sejarah) dengan kekuatan pedagang dari Yaman. Ketiga-tiga teori ini boleh diterima pakai di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, Matrikulasi malah di IPT.

Dan betapa hebatnya pada diri Melayu itu ialah sifatnya(rakyat) yang taat pada setiap yang dilihat sebagai kebaikkan sultan/ raja dengan frasa

‘ Raja adil raja disembah(taati), raja zalim raja disanggah’.

Makanya,Parameswara yang tiada berilmu tentang pentadbiran kerana sering diburu Majapahit dan Siam ketika itu telah memilih satu sistem hidup yang begitu kuat sebagai asas pembinaan sebuah Negara Kesultanan Melayu Melaka. Pemilhan Islam telah membuatkan seluruh negeri yang bernaung di bawah Melaka juga memeluk Islam berdasarkan kepada konsep taat yang telah diikat.

Kekuatan inilah yang menjadikan Islam dapat bertapak lama di alam Melayu, kekuatan pada ketaatan rakyat kepada sultan serta ketaatan Sultan kepada Islam dan sistemnya. Oleh sebab itu, kejatuhan Melaka tidaklah membawa kepada kekufuran rakyatnya. Malahan sifat Melayu itu diteruskan sehinggalah lahirnya pula Kerajaan Kesultanan Melayu Johor-Riau-Lingga yang mahsyur, tidak seperti negara seperti Sepanyol yang kufur setelah dijajah.

 

Erti Melayu

Perlu jelas konsep dan makna mengikut realiti umum sebelum kita boleh melangkah lebih jauh tentang Melayu. Yang dinamakan Melayu itu antaranya:

  1. Agamanya Islam – Di semenanjung, wajib Melayu itu Islam (sila jangan bandingkan dengan Melayu Singapura, perlu kupasan lain)
  2. Berbahasa Melayu
  3. Adat resam Melayu
  4. Sejarah salasilah Melayu

Jika tiada empat perkara ini, maka hak keistimewaannya boleh disangkal sebagai penduduk peribumi.

Apa yang penting ialah kita mahu mengatakan bahawa perjuangan Melayu sejak zaman keislaman Parameswara bukan sahaja kerana nama Melayu, tetapi kerana ikatan Melayu dengan Islam itu sendiri.

Oleh itu, kita perlu faham bahawa perjuangan Melayu itu bukanlah bermaksud meninggalkan Islam, bahkan mengagungkan Islam itu sendiri. Maka tiadalah salahnya jika perjuangan itu menggunakan nama bangsa Melayu atas kepentingan yang boleh membawa kegemilangan Islam.

Sebagai contoh:

Kejatuhan Melaka bukanlah bermakna kejatuhan kekuasaan bagi seorang raja kerana kota pemerintahan boleh ditukar- tukar. Namun dek kerana kebencian terhadap kekuasaan asing terutamaya kafir telah menyebabkan Melayu seluruh Nusantara bangkit menentang kuasa asing atas nama Melayu dan kesultanannya.Penentangan yang ditunjukkan oleh Sultan Mahmud, Raja Ahmad, Pateh Kadir , Pateh Unus, Hang Nadim ,Bendahara Paduka Raja, Sang Naya dan lain-lain umat Melayu cuba sebolehnya mengusir keluar kafir yang mencengkam tanah Islam yang dijajah.

Malah kekuatan dari Jawa, Aceh dan sebagainya diraih untuk membantu tatkala Kesultanan Melayu Islam yang merupakan tunjang, diratah.

Sebagai mana frasa

 

‘ Kalau roboh kota Melaka

Papan di Jawa hamba dirikan

Kalau sungguh bagai dikata

Harta dan nyawa hamba serahkan’

 

Seluruh rumpun Melayu bangkit demi menegakkan Kalimah Allah kembali di Melaka. Perjuangan umat Melayu ini menjadi bayangan ngeri dan sukar dilupakan kepada para pentadbir, saldados, oscronistas (periwayat sezaman) dan Mubaligh Katolik di Melaka.

 

Jelaslah, penggunaan nama dan semangat Melayu bukanlah satu bentuk pembuangan kepada Islam bahkan mampu menjadi kaedah penegakkan Islam.


 

Idea Tradisi Kutuk Diri dan Hukum Diri

Tradisi kutuk diri adalah satu bentuk hukuman terhadap diri sendiri yang dikutip daripada idea ketandusan budaya sesebuah bangsa. Selalunya idea ini digunakan penjajah untuk memastikan survival mereka pada Negara yang dijajah. Idea ini digunakan oleh penjajah Inggeris pada diri orang Melayu dengan ungkapan

‘ Melayu, kerjanya lebih baik sedikit dari ayahnya’

Sebab itulah lahirnya perasaan lemah semangat dan hilang jati diri pada jiwa melayu itu sendiri.

Perkara ini dijelaskan dengan kehadiran frasa oleh ramai pengkritik dan penulis dikalangan Melayu sendiri seperti

‘ Melayu mudah lupa’

‘ Melayu itu ertinya malas dan lembab’

Dalam mengulangi dan untuk menyebarkan ideologi tentang kedaifan inilah, kebanyakkan ramai penulis yang mendedahkan rasa rendah diri orang Melayu yang amat sangat . (Shaharuddin Ma’arof,1988;62)

Belia Islam kita juga biasa mengambil pendekatan serupa, kutuk diri dalam keadaan yang melampau seperti ungkapan

‘ ye lah, aku tahu aku bodoh tidak macam engkau, pandai’

‘ sekolah tinggi- tinggi, bodohnya bertingkat- tingkat’

Kesannya, kerendahan diri orang melayu yang didedahkan ini sebenarnya memberi kesan mendalam dalam jati diri orang Melayu, takut akan persaingan malahan sentiasa bergantung harap pada bantuan lain.

Selain itu juga, bangsa melayu telah menjadi satu bangsa yang ragu akan kehebatan bangsa sendiri, bersikap bersangka buruk, tidak yakin pada idea rakan sebangsa dan seagama. Akhirnya memilih lain bangsa yang dirasakan hebat, gah dan bagus sebagai rakan perjuangan serta tempat menagih bantuan.

 

Seruan Melayu: Memudaratkan dan Membawa Penindasan

Sering menjadi kritikan pabila kita cuba untuk memperjuangkan hak menggunakan seruan bangsa. Kemungkinan tuduhan seperti perkauman, penindasan atau kurang cerdik akan terpalit kepada para penyeru.

Namun begitu, sejarah membuktikan bahawa bangsa Melayu bukanlah satu bangsa yang kejam. Panggilan tanah jawi dan Ahsan Nas yang membawa maksud selembut/ sebaik manusia oleh bangsa Arab adalah sebagi bukti betapa jiwa sopan , santun dan telus ada pada jiwa Melayu.

Kedatangan pelbagai bangsa ke tanah jawi (Melayu), sebenarnya diterima baik oleh orang Melayu selagi mana adat tanah air ini dijaga. Adat istiadat yang pada dasarnya setelah kedatangan Islam berteraskan Al-Quran dan Sunnah seharusnya dijaga oleh semua pihak pendatang, pedagang dan para pengembara. Hukum Kanun Melaka dan Undang- Undang Laut Melaka yang diceduk daripada hukum syariat menjadi penjamin kepada hak semua orang yang singgah di kota Melaka (dikatakan 83 bangsa pernah datang dan menetap di Melaka). Langsung tidak berlaku penindasan.

Begitu juga sejarah pasca kemerdekaan, orang Melayu yang cuba mengembalikan hak ketuanan mereka, mengembalikan kegemilangan Islam pasca merdeka (dikatakan orang Melayu tidak sanggup menyalurkan kutipan zakat mereka kepada Gabenor Malayan Union) dengan berlapang dada menerima kehadiran orang luar menjadi sebahagian daripada penduduk tanah Melayu (diikat dengan kontrak sosial).

Seperti mana kata Tun Abdul Rahman sebelum perbincangan meja bulat bersama Tun H.S Lee, Tun Sambathan , Dato’ Saadon, dll

‘ Sebelum kita memulakan perbincangan, perlulah semuanya bersetuju bahawa tanah Melayu ini adalah sah hak milik orang Melayu, tuannya Melayu’

Maka, setelah persetujuan itu, barulah rundingan diterusankan. Oleh itu, sejarah telah menunjukkan banyak perkara yang membuktikan betapa Melayu itu tidak pernah menindas kaum lain malahan menghulurkan persahabatan.

Apa yang terjadi ialah pengkhianatan kaum lain kepada penduduk Melayu iaitu si Pengkhianat Nina Chatu yang melepaskan tawanan raja sehingga rahsia kekebalan Melaka terlepas ditangan Portugis.

Seruan Melayu: Satu kesalahan atau Fenomena biasa

Wahai belia, adakah salah jika saya mendahulukan pertolongan saya kepada ayah, ibu, adik beradik dan rakan rakan saya?

Wahai belia, adakah patut kita hanya sekadar membiarkan ayah, ibu, adik –beradik dan rakan- rakan kita hanyut dibuai mimpi indah dunia?

Wahai belia, adakah seruan saya kepada bangsa yang saya lahir di dalamnya satu seruan berdosa?

Wahai belia, adakah seruan perpaduan, menyeru kepada kebaikkan dan menghindarkan kemungkaran saya ini sesuatu kesalahan?

Wahai belia, seruan kecintaan bangsa ini lahir daripada hati yang mahu mengembalikan kegemilangan Islam. Dan sejarah membuktikan bahawa bangsa Melayu begitu teguh, kuat dan tetap dalam perjuangan ini sedari dulu lagi.

Agenda perjuangan kita ialah Islam, maka Melayulah yang mampu menunjangi kegemilangannya di Malaysia ini. Ini adalah fenomena biasa.

Penutup

Kesimpulannya, perjuangan Melayu dan seruan Melayu bukan satu proses melupakan dan membuang Islam kerana ia akan melemahkan makna Melayu itu sendiri. Namun, ia sepatutnya menjadi kaedah atau alat biasa bagi menyeru bangsa sendiri kearah kegemilangan Islam.

Antara lain, idea kutuk diri dan hukum diri memberi kesan parah di kalangan bangsa kita sehinggakan ada antara bangsa Melayu sendiri yang sanggup berpaling tadah, tersilap langkah dan sentiasa bersangka buruk kepada bangsanya sendiri.

Selain itu, seruan Melayu bukanlah seruan kearah penindasan. Bahkan seruan ini adalah seruan kebangkitan, mengembalikan jati diri dan menambahkan ketaqwaan agar Islam terus dipelihara dan disebarluaskan di Tanah Jawi ini.

Akhir kata, perjuangan kita belum selesai.

Rujukan

Abdul Latif Abu Bakar ,Melaka dan Arus Gerakan Kebangsaan Malaysia ,Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia dan Penerbit Univeriti Malaya, 1996.

Lily Zubaidah Rahim,Dilema Singapura , Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2008

Buyong Adil, Sejarah Melaka ( Kuala Lumpur, DBP, 1973)

Salehan Ayub. Ust, Himpunan Risalah Hasan AlBanna, Pustaka Salam, Jun 2003

Hafizi MN, Jihad Di Nusantara

Federal Constitution Of Malaysia, Pindaan terkini 1260/2006

July 9, 2010

Agenda Melayu; Isu Dan Cabaran

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 5:22 pm

Catatan dan kertas kerja ini telah diterbitkan di www.mindamadani.my .Amat tertarik dengan isi dan faktanya dan inilah yang seharusnya difahami oleh kita serta ditambah dengan kefahaman jelas terhadap Islam- Afizhi Atan-

Oleh: Prof. Madya Shaharuddin Badaruddin
Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi
Universiti Teknologi Mara
Cawangan Sarawak

PENGENALAN

Kertas kerja ini bukanlah satu percubaan untuk menafikan betapa pentingnya kepesatan pembangunan yang berlaku dalam negara ini ataupun ia bukanlah satu perbincangan untuk menafikan peranan yang dimainkan oleh kaum yang lain, tetapi ia hanya merupakan satu perbincangan untuk melihat akan kesan dan akibat kalau proses pembangunan dan kemajuan yang pesat ini jika tidak dibuat secara berhati-hati akan menyebabkan kesan yang besar terutama kepada orang Melayu. Atas nama globalisasi dan juga cita-cita untuk menjadi sebuah negara maju, maka banyak hak dan agenda Melayu dalam aspek sosio, ekonomi dan politik tergendala kerana keghairahan ini. Apabila menyebutkan agenda Melayu, terdapat beberapa peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menunjangi agenda tersebut.

Unsur-unsur tesebut adalah sistem beraja, Bahasa Melayu, agama Islam dan kedudukan istimewa Melayu. Kertas ini akan cuba membincangkan isu-isu yang menyentuh hak Melayu ini disamping cabaran-cabaran yang dihadapi dalam memperjuangkan hak Melayu ini. Cadangan akan juga dikemukakan untuk melihat tindakan yang boleh dilakukan oleh Yayasan Budaya Melayu Sarawak dalam mengenegahkan hak ini.

ISU AGENDA MELAYU

Sejak tahun 1990an, isu hak Melayu semakin lama semakin terpadam dalam agenda politik negara. Isu ini akan muncul apabila haknya dipersoalkan oleh kaum yang lain. Dalam ertikata yang lain, hak Melayu ini cuma menjadi benteng sebelum terhakis dengan lebih lanjut. Ia lebih bersifat defensif daripada ofensif. Perkara yang paling ditakuti untuk dikemukakan, takut-takut akan menyinggung perasaan kaum yang lain. Ada juga yang merasakan bahawa Hak istimewa Melayu janggal untuk diperjuangkan dalam orang memperkatakan tentang hak demokrasi, globalisasi dan sebagainya. Malah sudah ramai yang merasakan bahawa ujudnya hak istimewa Melayu adalah setting daripada sebelum kemerdekaan. Kontrak sosial* yang timbul sebelum merdeka tidak boleh di gunapakai sekarang ini. Ia perlu dirombak untuk memastikan supaya historical garbage yang melanda masyarakat tidak menghantui pembentukan masyarakat Malaysia yang lebih moden. Kerana itulah parti-parti politik Melayu dan kumpulan seminat agak keberatan untuk memperjuangkan isu ini, takutkan kehilangan sokongan dan undi dari kaum yang lain.

 
 

Di dalam aspek politik yang lain pula, kadangkala terdapat pernyataan politik yang selalu mengaitkan bahawa perjuangan hak Melayu ini adalah hak perjuangan parti mereka. Sedangkan dari segi hakikat yang sebenarnya tidak ada parti politik yang boleh mendakwa bahawa mereka merupakan penjaga kepada hak istimewa orang Melayu kerana Perlembagaan Persekutuan telahpun menetapkannya. Ia tidak seharusnya menjadi bahan untuk berkempen ataupun menjadi bahan kepada bola sepak politik. (Aziz Bari : 2001)
Dari sudut bahasa pula, kelemahannya ketara dari sudut perlaksanaannya. Terdapat dua sektor yang memisahkan bahasa, iaitu sector awam yang sepatutnya menggunakan bahasa Melayu dan sektor swasta yang menggunakan bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris. Jurang penggunaan bahasa yang semakin memuncak pada tahun 1980an dan 1990an di tambah oleh faktor-faktor lain seperti pertamanya dasar penswastaan yang tidak mengambil kira peranan bahasa Melayu dan keduanya ialah dasar penggunaan bahasa Inggeris yang cukup liberal dalam sistem pendidikan tinggi. (Hassan Ahmad : 2001). Dasar penswastaan telah menyebabkan penggunaan Bahasa Melayu disempitkan lagi dan dalam media komunikasi, penggunaan bahasa telah mula menjadi terpencil. Perkembangan ICT pula tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dominan.


Perkembangan yang paling mencabar ialah ujudnya ratusan IPTS yang menggunakan bahasa Inggerisa sebagai bahasa pengantarnya. Keadaan ini akan mengekalkan sektor swasta berbahasa Inggeris sebagai sektor pembangunan negara yang berpengaruh dan berkuasa menentukan dasarnya sendiri. Kedudukan dan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi terutamanya bidang teknologi dan perniagaan semakin hilang. Sektor swasta pula semakin ghairah untuk menerima lulusan IPTS daripada luhusan IPTA semata-mata kerana lulusan IPTS terdidik dalam bahasa Inggeris. Keghairahan IPTA untuk menukarkan bahasa pengantar kini adalah lanjutan daripada perkembangan ini.

CABARAN

1. Tafsiran Perlembagaan tentang hak Melayu masih belum muktamad
Dalam polimik yang berlaku kini terdapat dua tafsiran mengnai hak Melayu menurut perlembagaan. Adakah ianya kedudukan Istimewa orang-orang Melayu (special position) atau hak istimewa orang Melayu (special previllege). Kedua-dua konotasi ini membawa kepada tafsiran dan kemudianya perlaksanaan yang sangat berbeza. Sudah tentu kesan tafsiran ini kepada perlaksanaan agenda Melayu menurut perlembagaan akan terjejas. Kegagalan menafsirkan isu ini secara tepat akan menyebabkan isu ini akan sentiasa diperdebatkan dari masa kesemasa.

2. Kehendak politik (political will) dalam mempertahankan agenda Melayu

Trend terbaru menunjukkan bahawa tafsiran kedudukan istimewa orang-orang Melayu semakin dilunakkan. Sepanjang sejarah perjuangan politik Melayu selepas merdeka, akan ada dua kelompok Melayu yang bertentangan dari segi ideologi dan orientasi perjuangannya. Kalau ada kelompok-kelompok kanan yang berusaha untuk meMalaysiakan agenda Melayu maka akan timbul kelompok far left yang akan membawa tafsiran yang terlalu keMelayuan yang akhirnya menstabilkan semula isu kedudukan istimewa orang Melayu. Sebelum kemerdekaan, kelunakan IMP telah diimbangkan dengan nasionalisnya UMNO. Kemudian selepas merdeka UMNO telah diimbangkan dengan Parti Negara dan PAS. Sehingga tahun 1970an, isu ini telah disemak dan imbangkan (check and balance).

 
 

Tetapi kini seolah-olah tidak ada semak dan imbang menyentuh isu-isu Melayu terutamanya selepas Pilihanraya Umum 1999 apabila bahasa politik sudah ditukarkan kepada bahasa undi. Dalam usaha untuk mengambil hati kelompok kedua dalam masyarakat, maka parti-parti besar Melayu/Islam dalam negara sudah mula takut untuk membicarakan tentang hak Melayu tanpa mengaitkannya dengan hak samarata semua kaum. Walaupun memang itulah yang patut ditekankan dalam Islam dan pembentukan sebuah negara demokrasi tetapi kadangkala dalam keghairahan berpolitik maka timbullah beberapa gagasan yang bercanggah dengan perlembagaan itu sendiri. Isu orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri ataupun perlaksanaan sistem meritokrasi adalah gejala yang menghangatkan lagi permintaan yang bukan-bukan dari kaum yang lain. Akhirnya siapa yang hendak menjadi kelompok far left dalam menafsirkan perlembagaan itu supaya akan berlaku check and balance. Adakah ianya patut diserahkan kepada parti-parti politik yang mana pertimbangan undinya lebih banyak mempengaruhinya berbanding dengan perjuangan agenda Melayu ataupun peranannya perlu diambil alih oleh Sektor Ketiga* orang Melayu, yang merupakan badan-badan gabungan pertubuhan Melayu dan individu. Strategi sebegini telah berjaya dilakukan secara berkesan sepertimana yang dimainkan oleh Suqui iaitu badan-badan gabungan rayuan Cina semasa pilihanraya 1999.

3. Aspek psycho-social masyarakat Melayu
Dikalangan generasi muda Melayu/Islam sekarang ini, mereka lebih bersikap apologetic dan defensive dalam mempertahankan haknya. Apabila timbul beberapa gagasan yang mengatakan bahawa dasar-dasar dan agenda Melayu terutamanya dalam Dasar Ekonomi Baru telah mendiskriminasikan kaum-kaum lain, maka kelompok muda yang hilang hujah akan mengiyakan saja pandangan ini. Sikap sebegini timbul kerana kegagalan mereka untuk memahami beberapa peruntukan yang terdapat di dalam perlembagaan dan juga fenomena buta sejarah yang timbul daripada sistem pendidikan yang tidak menekankan kepada aspek-aspek persejarahan. Apa yang perlu dilakukan adalah memberikan pendedahan perlembagaan kepada seluruh lapisan masyarakat terutamanya generasi muda supaya mereka mempunyai pengetahuan dan maklumat lengkap tentang haknya sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Peranan Yayasan Budaya Melayu Sarawak boleh dipertingkatkan dalam menekankan aspek ini kepada seluruh pelajar Melayu/Islam di Sarawak.

4. Cabaran dari bukan Melayu
Perlaksanaan dasar tentang hak Melayu dan perlaksanaan DEB dalam tahun 1970an sudah tentu membawa perasaan tidak senang kepada bukan Melayu. Kekuatan yang bakal dimiliki oleh orang Melayu dari aspek sosio-ekonomi sudah tentu menjejaskan satu-satunya kekuatan yang dimilikinya. Kerana itu mereka mengambil pendekatan social closure dimana peluang sosial dan ekonomi yang dinikmati mereka ditutup kepada kelompok lain. Ia tidak berlaku dalam bentuk undang-undang, tetapi berlaku dalam bentuk kumpulan. Antara langkah yang dilakukan ialah self declared economic salvation dan juga digerakkan oleh pertubuhan-pertubuhan Cina seperti clan associations, trade guilds, dewan-dewan perniagaan, pertubuhan alumni dan pertubuhan agama. Kelahiran IPTS swasta juga telah menjadi medan untuk menyemarakkan lagi sistem pendidikan Cina di Malaysia. Suasana ini sudah tentu menambahkan jurang dan akhirnya menimbulkan perasaan tidak puashati dikalangan orang Melayu yang merasakan diri mereka sentiasa tertinggal.

CADANGAN

Untuk menjamin hak ini dan juga meneruskan agenda Melayu, beberapa perkara harus dipertimbangkan. Dicadangkan beberapa perkara untuk diambil tindakan.

1. Menjadikan Yayasan Budaya Melayu Sarawak sebagai wadah untuk menghimpunkan, menyatukan dan melahirkan aspirasi Melayu di Sarawak dengan mengumpulkan semua pertubuhan Melayu samada perniagaan, dakwah, persilatan, politik, bahasa dan sebagainya dan menjadikannya sebagai sektor ketiga yang kukuh dan kuat. Menjadikannya wadah sepertimana yang dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan Cina seperti Dong Jao Zong, Suqui dan sebagainya.

2. Menjadikan bahan-bahan dalam wacana ini sebagai pemula kepada program celik Hak Istimewa Melayu kepada generasi muda supaya mereka tidak terlalu defensive atau apologetic apabila membincangkan isu yang berkaitan dengan orang Melayu. Kursus-kursus atau wacana sedemikian rupa boleh dilanjutkan keseluruh bahagian di Sarawak ini.

3. Meluaskan skop Melayu di dalam pentafsirannya dalam konteks Sarawak. Ia tidak saja merujuk kepada kaum Melayu sahaja, tetapi ia mesti mencakupi kaum bumiputera yang lain. Ini untuk mengelakkan apabila disebut Hak Istimewa Melayu, maka yang menjadi rujukan ialah kaum Melayu Sarawak. Adalah amat strategic kalau Melayu dalam konteks Sarawak akan merujuk kepada Bumiputera secara keseluruhannya. Ia boleh dilakukan dengan mengadakan siri wacana bersama dengan mereka.

 
 

Bait

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 1:18 pm

Akukah yang gila mengharapkan kawan-kawan seperjuangan kembali berkumpul??

Atau

Merekakah yang masih merajuk dan gembira dengan hidup suka disebalik mimpi buruk??

Sesungguhnya Dakwah Bukan untuk Mereka yang Kuat Merajuk

-Afizhi Atan-

June 29, 2010

Engkau Telah Pergi

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 11:14 pm

Dalam sejuk hujan malam

Dalam penat dan lelah kota raya

Dalam diam pekat kelam

Dalam samar pandangan dunia

Engkau telah pergi

 

Suasana pasti sayu

Pasti sedih dengan tangisan

Pasti penuh teriak dan esak

Pasti sendu terbit melaju

Engkau telah pergi

 

Sayup- sayup bacaan itu melagu

Menyapa sepi telinga semua

Melenggok lenggok bersama angin

Penuh syahdu melentok-lentok

Engkau telah pergi

 

Engkau cukup berjasa

Engkau cukup mesra

Engkau punya segala

Engkau dihati kami

Dan Engkau telah pergi

 

-Afizhi B. Atan-

(Sariah Bte Kidam 1937-2010-Al Fatihah)

 

May 22, 2010

Perempuan Yang Terbaring

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 12:03 pm

Perempuan yang terbaring itu
Tua tiada bermaya
Kudrat tiada terdaya
Sengal badan berbisa-bisa
mengeluh-ngeluh
sakit, sakit, sakit.

Perempuan yang terbaring itu
Dulunya gagah perkasa
Jalan ke hulu bagaikan perwiara
Mudik ke hilir bagaikan singa
Dalam erti mencari
sebuah cinta
sebuah bahagia

Perempuan yang terbaring itu
Darinya lahir seorang peiaga
darinya lahir pejuang bangsa
darinya lahir jurutera berjaya
mereka kini
bahagia
berjaya

Perempuan yang terbaring itu
Sudah lama hidupnya
Sudah banyak jasanya
Kini menungu hari cuma
Menanti ajal bakal menjelma

Aku
Bediri di tepian katil
Si perempuan tua yang terbaring itu
Menghadap siksanya dia
Doaku
Jika panjang usianya, sembuhkanlah dia
Jika pendek umurnya, permudahkanlah dia

-Afizhi. Hospital Tuanku Ampuan Najihah-

May 11, 2010

Polis Berjasa

Filed under: Al-kisah,Uncategorized — perjalananjauh @ 6:58 pm

Koperal Jenain Subi mengaku tidak bersalah atas kesalahan menyebabkan kematian remaja, Allahyarham Aminulrasyid Amzah dua minggu lalu. Beliau yang telah berkhimat dengan Polis Diraja Malaysia sejak 1985 sebelum ini berkhidmat sebagai Polis Mahkamah sebelum bekerja sebagai Unit Peronda Polis. Akhir kepada karier beliau, tuduhan membunuh di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 30 tahun.

Sayu hati melihat seorang anggota polis dikenakan pertuduhan selepas sekian lama menjadi manusia yang mengamalkan perundangan. Sayu juga mengenangkan nasib pihak Polis Diraja Malaysia yang sudah mula ditohmah dan dicari-cari pula kesalahannya. Sayu rasa bila isu tembak –menembak mula dijadikan modal pembangkang untuk mempengaruhi orang awam. Dan sayu bila isu lama dibangkitkan untuk menunjukkan seolah-olah bukti pihak polis memang kejam, sebagai contoh isu memali ,demonstrasi 1998 dan lain-lain.

Masing –masing menulis mengikut pendapat masing-masing. Mengikut pengalaman masing- masing. Dan jarang pula pihak polis mencurahkan perasaaan, pendapat atau keluhan mereka di dalam blog ( kerana tidak dibenarkan).

Pandangan peribadi ini saya ukirkan (more…)

Next Page »

Blog at WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.