perjalananjauh

February 6, 2010

Ana Muslim- Episod 8

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 1:15 pm


Episod 8

Terbentang indah satu hamparan rumput yang luas, hijau menutupi permukaan sehingga yang jelas di kejauhan umpama bersambungan dengan kaki langit yang jelas biru kelautan. Hanya beberapa batang pokok berdiri tegak beserta rimbunan dedaun dan dahan, menjadi peneduh pembuat bayang sekadar mengindahkan lautan hijau.

Aliran sungai atau mungkin juga terusan mengalir terus melintangi padang hijau, mata yang memandang mentafsirkan kesejukan air dan menggambarkan kesegarannya.

Di bawah seperdu pokok, dibentangi rumput padang atau juga nama saintifiknya Brachiaria decumbens, otak Ah Meng mentafsir. Terpana dia dengan kecantikkan ini. Luar biasa cantik. Pernah juga dilihat, seperti di dalam iklan komersial Milo, kanak-kanak berlarian membawa layang-layang di padang menghijau seperti ini. Tetapi, dimanakah dia?

Baru sebentar tadi, dia bersama rakan-rakan baru, membincangkan tentang perihal ketuhanan. Baru sebentar tadi, dia tumbang dipangkuan Hakimi, kerana tidak termampu menahan asakan pemikiran yang agak baharu baginya. Baru sebentar tadi, dia terasa pendirian papanya salah dari pada fitrah asal. Dan baru sebentar tadi, dia berada di UniTen. Baru sebentar tadi juga dia tersedar dan mendapati dirinya entah dimana. Terjaga dari tidur,berbantalkan rumput berbumbungkan langit biru dan berteduhkan pohonan pokok yang rendang.

Ah Meng masih kehairanan. Keliru. ‘Dimanakah aku?, Gaya seperti di UPM, juga punyai ladang seluas ini, tapi manakah pula lebuhraya yang bersebelah dengan ladang UPM?’ Ah Meng bermonolog.

Dia bangun, mengeliat meluruskan tangan ke atas. Kakinya ditunjitkan sedikit, terjengket-jengket dia sedikit bergerak. Melegakan sendi-sendi badan yang dirasakan seperti membelit tubuhnya. Kemudian, dia berlarian anak ke sungai, kelihatan jernih dan cetek. Ikan seakan berpesta tari-menari di permukaan air, bergembira menjalani kehidupan. Ah Meng tersenyum. ‘ Cantik’ Bisik hati Ah Meng.

Dipijaknya batu yang timbul dipermukaan air, lalu bertenggek. Lantas , Ah Meng mencangkung dan mencapai air sungai dengan tangannya. ‘ Sejuk, segar sungguh’ Seyuman Ah Meng semakin panjang. Terasa riang pula. ‘ He, sudah lama nih tidak bermain air. Dulu, aku terjun sahaja tanpa seluar kalau ada peluang begini’ Girang sungguh hati Ah Meng.Ah Meng teringat kisah lamanya. Manakan tidak, pernah dia terlolong –lolong meminta bantuan tika kangkangnya digigit pacat, gara-gara mandi di lombong lama. ‘ Ular, ular, tolong lo, ular makan dalah aku’ Jerit Ah Meng ketika itu, sehinggalah dia dibantu seorang pakcik Melayu yang melintas untuk memancing. Tergelak pakcik itu, melihat pacat yang kekenyangan tergantung-gantung di celahan kangkang Ah Meng, dijerit katanya ular. ‘he, he’ Ah Meng senyum sendiri. Diminum sedikit air sungai itu, dan dibasuhnya kepalanya.

‘ Dimanakah aku?’ Ah Meng berdiri semula.

Tiba-tiba, dia terlihat lima orang lelaki menyeberangi sungai itu. Mereka berlalu tanpa mempedulikan Ah Meng. Laju sahaja mereka menyeberang. Seluar slack berwarna hitam mereka diangkat sedikit keparas lutut, masing-masing menjinjing capal, berkaki ayam sahaja menginjak-injak batuan sungai.

Baju mereka seperti baju melayu, berwarna putih, kepala ditutupi songkok hitam berlilitan keemasan ditengah dan masing-masing membawa beg sandang.

“Hoi, nak kemana kamu? Tunggu aku..” Ah Meng melaung, namun mereka terus beredar berlarian anak.

Hati Ah Meng membara, geram sangat. ” Hoi budak-budak! Kemana kamu? Sini aku mau tanya lo..” Ah Meng makin mengeraskan suaranya. Dia bingkas melompat ke daratan , cuba berlari mengejar lelaki-lelaki itu. Namun hampa, mereka masih berlalu meninggalkannya.

Tahap kemarahan Ah Meng semakin membara, lantas dicabutnya kasut yang dipakainya satu persatu. ” Siap kolang..ha..Inilah namanya Ah Meng ..” Hati geram mengizinkan segalanya. Kasut ditangan digenggam erat, sasaran sudah berada didalam lingkungan serangan. Tangan mula menarik picuan urat, kebelakang, lalu balingan dilepaskan. Kasut laju meluncur, deras dan mantap. Graviti memainkan peranan. Balingan sedikit keatas membuatkan kasut laju menujah kearah bawah dan…Tup.. Mengenai kepala lelaki yang paling belakang.

“Aduh! Sakitnya.” Lelaki itu terkedu dan berhenti berlari. Tangannya digosok-gosokkan ke kepalanya, sedikit lelehan merah keluar di sebalik rambutnya, songkok terlepas ke tanah tatkala kasut tepat mengenai kepala.

Lelaki itu menoleh kebalakng , tepat kearah Ah Meng. Dipandangnya Ah Meng kehairanan, kemudian dia tersenyum. Songkok di tanah diambil kembali, ditepuk-tepuk dan cuba untuk berlalu pergi mengejar sahabat yang lain. Tapi jeritan Ah Meng menghentikannya.

” Bang, tolong la. Ini dimana ma? Saya tak tau ini tempat lo, ini apa nama tempat? Mana itu teksi punya parking ?” A Meng bertanya tanpa ada pendahuluan, tanpa ada salam pengenalan.

” Awak daripada mana?” Lelaki itu membalas.

” Bangi” Jawapan ringkas Ah Meng.

” Oh, awak di Laluan Utama. Di sini tiada teksi. Untuk ke Bangi, ikut tepi pagar dan jalan menyusur sehingga nampak pokok besar.” Lelaki tadi terus berpaling dan mula berlalu.

” Nanti bang, kenapa abang berlari?” Ah Meng bertanya lagi..

” Kami kena cepat, raja sedang menunggu.” Dan dia terus berlari.

” Aiyya. Macam celita dongeng lakyat saja gua ni. Ada pagar la, pokok besar la, laja la. Ini kenapa itu brother tak cakap ada fairy tail saja.. Sohai.. tak percaya la gua.” Ah Meng terasa diperbodohkan. Bengang. Jawapan yang ditagih, hanya memeningkan lagi kepalanya yang sesak dengan selirat dan sarap.

“Sohai.” Makinya lagi.

Lantas dia berjalan kearah lelaki-lelaki tadi susuri, sehingga dia terjumpa pagar berwarna putih. Setahunya pagar ini dinamakan English Fencing. Pagar Inggeris. Berwarna putih dan menggunakan tiang yang agak keras, dibuat berbentuk petak-petak dan panjang. Membenarkan orang memasuki kawasan sebelah pagar dengan mudah, namun tidak bagi sebarang haiwan. Pagar yang agak tegap dan ampuh dari sebarang haiwan tiada berakal, namun rapuh bagi manusia berfikiran perncuri.

Ah Meng terus menyusuri pagar itu. Pandangannya kehadapan, tiada lagi menoleh. Kadang-kala, kakinya tersadung batu besar yang tertancap kukuh di tepian pagar. Hampir-hampir membuatkan dirinya terjatuh, namun dek kerana tangannya erat menggenggam pagar, badan dapat diimbangkan semula.

Setelah lima belas minit berjalan,pandangan Ah Meng mula menerpa ke sebuah bukit. Seperti biasa, bukit itu dilitupi daunan hijau rumput padang. Cuma, yang amat menakjubkannya ialah sebuah Istana tersergam indah.

Istana; berbumbung biru dan berkubah. Punyai menara seakan masjid, berdiri angkuh di setiap empat penjurunya. Sedikit punyai jendela batu, tiupan angin menghembus tirai langsirnya yang berwarna biruan pekat juga. Menara Istana punya bentuk sama seperti menara di Aya Sofea di Turki. Cantiknya.

Ah Meng terpaku. Kakinya tidak berganjak lagi, matanya terkebil-kebil , mulutnya menjadi pucat, telinganya seakan berdesing. Apakah ini? Persoalan mulai timbul. Ini betul-betul seperti di dalam cerita kanak-kanak. Fairy tail? Mengarut. Mengarut. Mengarut. Ah Meng rasa semacam.

” Cantik, mungkinah saya di dalam buku Lord of The Ring? Adakah pelakon LOTR bertukar menjadi melayu? Arghh karut.” Persoalan direka-reka.

Ah Meng cuba melangkah, melangkah dan terus melangkah. Langkahannya semakin laju menuju kearah tempat yang dirasakan istana. Matanya terus sahaja tertancap pada istana itu. Makin lama, Istana itu semakin dekat, dan makin tinggi pula tembok batu yang mengelilinginya. Tembok yang menjadi penghalang mata Ah Meng untuk terus menikmati istana, menikmati keindahan luar biasa di dalam kisah yang dia sendiri tiada tahu bukunya, dia sendiri tiada mengerti dongengnya.

Ketika makin hampir pada lalan ke istana tersebut, makin ramai jugalah orang berbaju putih berseluar slack hitam berlarian anak menuju kearah yang sama. Ada juga perempuan-perempuan berbaju kurung, berjilbab labuh berwarna putih, juga berkain hitam berselendang keemasan. Juga turut berlarian anak. Ada yang mendukung anak, ada yang memimpin anak, ada yang membawa beg, ada yang berlenggang kangkung, ada juga yang menjinjit kasut berkaki ayam.

Ah Meng bergabung bersama mereka, tiada siapa dikenalinya dan tiada siapa mengenalnya. Dia turut berlarian anak, cumanya dia berlarian tanpa tujuan. Dia tidak tahu kenapa dia perlu berlari, yang dia pasti dia cuma ingin merapati istana itu, orang berlari maka dia pun berlari.

Tiba- tiba, dia seperti mengenali sebentuk tubuh yang agak kehadapan dengannya. Berlarian anak juga.

“Hakimi?” Ah Meng hairan.

Namun, dia tetap yakin, itu Hakimi. Tidak semena-mena, orang ramai mulai bersuara tatkala jarak diantara mereka dan istana hanya 50 meter sahaja. Suara yang cukup merdu, tapi seperti dipenuhi ungkapan penyesalan.

Astagfirullah robbal baroya

Astagfirullah minal khotoya

Robbi dzidni ilman nafi’aa

Wa waghfirli amalan maqbula

Wa habli rizqon wasi’a

Wa tub alaina, taubatan nasuhaa

Wa tub alaina bi taubatan nasuhaa

Atagfirullah Rabbal baroya..

Dan suara itu terus berdendang, terus bergema. Mereka menundukkan kepala, ada sendu di bahu mereka. Ah Meng jadi sayu, dia ingin segera mendapatkan Hakimi. Orang dihadapannya dirempuh. Dia mahu cepat. Dia tidak tahan mendengar sayuan orang, lagu yang mendayu itu, bersama angin semerdu seakan-akan meniup ditelinganya, menusuk-nusuk kencang gegendang memecahkan telinga. Menusuk ke hati menerobos dan membelah. Ah Meng jadi sayu. Dia mengejar Hakimi, makin dekat, makin rapat, masih berbaki dua depa untuk dia menggapai bahu Hakimi.

” Nanti, yang itu, tunggu. Jangan mendekat.” Laungan seseorang menghentikan semua pergerakan. Semua menjadi senyap. Tiada lagi rintihan, tiada lagi larian.

” Assalamualaikum ya saudara, anda tidak dibenarkan masuk.” Seorang pengawal istana lengkap bersenjata lembing dan menegur.

“Cukuplah sekadar di sini, saya minta anda berundur.” Arahnya lagi. Tangan Ah Meng di capai dan ditarik ke tepi kearah pondok pengawal.

Ah Meng kehairanan. Nyanyian bergema lagi, rintihan mulai lagi, larian kembali bersambung.

Ah Meng terlopong, dia mahu berlari bersama mereka namun tangannya digenggam erat.

” Hakimi! Hoi Hakimi! Hoi!” Itu sahaja yang sempat diucapkan.

” Tolong encik, saya nak masuk lo.” Ah Meng bersuara.

” Mana mungkin, awak tidak dibenarkan.” Tegas pengawal.

” Tolong la encik, ini sekali saje ma. I bagi lu duit la,kira duit kopi ma, lu bagi I masuk.” Ah Meng merasuah.

” Astagfirullah. Encik maaf. Tidak boleh” Maha suci Tuhan yang menjauhkan rasuah daripada seorang pengawal biasa berhati mulia.

” Tapi kenapa?” Ah Meng menyoal.

” Kerana awak tidak berhak, awak tidak layak” Pengawal bertegas.

” Apa bukti saya tidak layak ma? Meleka boleh, kenapa saya tilak boleh? Racist!” Ah Meng bertanya dan menuduh melulu.

” Dan buktikan pula kenapa awak layak? Mereka boleh kerana mereka berusaha, mereka diizinkan, tapi adakah awak semulia mereka? Awak tidak layak” Tegas pengawal, bersahaja.

” Saya berusaha, keputusan exam saya bagut. Anugelah dekan lagi lo.” Ah Meng ,makin mengeras.

” Saudara, tidaklah Allah melihat semua itu. Bukankah Allah telah berfirman,Allah tuhan yang maha agung, Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa diantara kamu yang baik amalnya. Maka siapa beramal dengan perkara yang baik sahaja layak. Apakah kamu kira amalan kamu sudah cukup baik? Balik sahajalah orang muda, berundur jauh.” Pengawal memujuk. Ah Meng mula terkedu.

‘Apakah amalanlu tidak cukup baik? Tidakkah ada setitis amalanku yang dikira baik? Apakah harga diriku tidak pernah dinilai baik?’ Monolog Ah Meng.

Dia mulai menitiskan air mata.

” Ah Meng, Ah Meng.. Sini.. Jangan menangis. Kau masih sempat. Jika kau balik nanti, ambil kuncinya pada aku. Kau layak, Cuma mungkin kau terlupakan kunci yang aku kirimkan.. AH Meng.. AH Meng..dengar kataku ini.. Ah Meng..” Ah Meng melihat Hakimi menjerit –jerit dari dalam kawasan istana, memesan sesuatu kepadanya.

” Ah Meng” Hakimi bersuara lagi.

” Ah MengcCuma memandang, sambil tangannya dicengkam erat si pengawal.

 

“Dia masih di dalam komanya, mungkin dia sedang bermimpi. Mimpikan sesuatu yang paling hampir, yang paling dia inginkan. Insya-ALLah kami akan segera memasukan ubatan yang sesuai. Moga dia cepat sembuh.” Doktor Ridhuan menerangkan.

Hakimi dan Ustaz Annuar berdiri disamping katil Ah Meng, mendengar. Setiap kata-kata yang diucapkan Ah Meng , cukup mengharukan mereka. Ah Meng seperti bermain wayang, menjadi pelbagai watak dalam mimpinya sendiri. Sedangkan badannya terbaring lesu tidak bermaya.

Tok, tok tok. Ketukan di pintu mengejutkan Hakimi dan Ustaz Annuar. Merka menoleh.

” Assalamualaikum.” Salam diberi.

Bersambung…

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

The Rubric Theme. Blog at WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: