perjalananjauh

February 22, 2009

Peringatan Dariku

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 6:44 pm

Bismillah

Sebuah peringatan yang menyedarkan itu adalah amat berharga. Untuk setiap manusia supaya tidak terpesong dan kembali kepada jalan yang benar, tidak kira siapa pun dia pasti akan melakukan kesalahan. Oleh itu peringatan adalah perkara yang amat penting.

Kawanku

Aku mungkin bukanlah orang yang layak untuk menegurmu, kau lebih tahu kenapa. Namun aku mahu juga menegurmu, mungkin kerana egoku, dan mungkin kerana rasa hatiku yang tidak senang dengan kerenahmu.

Kawanku

Guruku dulu mengajarku tentang dakwah pada orang lain. Katanya, untuk menjadi seorang pendakwah itu perlu hati yang besar, perlu jiwa yang besar, perlu kasih sayang yang besar. Pandangan seorang pendakwah itu berbeza daripada orang biasa. Katanya, pandangan pendakwah itu perlu penuh dengan kasih sayang, penuh dengan cintakan orang. Tujuannya , untuk menyeru mereka kembali kepada Allah.

Kawanku

Usahlah dikau mengeluarkan lagi kata-kata seperti ” nampak je bertudung labuh, tapi begitu begini”, ” nampak je berkopiah, tapi begitu begini”. Alasanmu, perlua ada kebencian sedikit didalam hati tatkala melihat mungkar. Ya , aku setuju dengan dirimu tentang perlunya ada benci pada mungkar, tapi tak perlulah dikau mengeluarkan perihal keburukan orang padaku. Cukuplah dikau sahaja yang melihatnya, usahlah diceritakan keburukan mereka.

Kawanku

Mungkin kita perlu berfikir dan membenci perbuatan orang yang melakukan maksiat, namun usahlah dibenci orangnya.Bencikan sahaja perbuatan mereka. Bencikan sahaja kelakuan mereka. Tapi pandanglah mereka dengan belas ihsanmu, seperti mana Allah memandang kita dengan belas ihsannya.

Kawanku

Kata- katamu nanti boleh diklasifikasikan riya’. Ketahuilah bahawa amalan manusia yang menyangka dia lebih baik itu sukar diterima Allah. Ketahuilah, kita tidak masuk syurga kerana amalan kita semata-mata, tetapi kerana rahmat Allah. Jika amalan kita sahaja dikira , kemungkinan besar kita tidak ke syurga.

Kawanku

Aku tahu engkau sedang bersemangat dalam berdakwah. Kalau ukuran dakwah itu diukur melalui program yang diadakan, ya engkau telah berjaya. Berjaya melaksanakan pelbagai jenis program dan festival. Yang mungkin bagimu telah menyedarkan pelbagai pihak tentang islam dan Allah. Tapi kawanku, aku telah terbaca buku karangan Ahmad Ar Rasyid yang menyatakan kejayaan jemaah dakwah itu bukanlah dikira melalui banyaknya program atau ramainya ahli. Sebaliknya kejayaan dakwah itu dikira pabila ahli dalam jemaah dakwah banyaknya memikirkan Allah, dan banyaknya taubat kepada Allah. Mungkin kau sudah lama daripadaku dan lebih tahu, aku cuma mengingatkan.

Kawanku

Kini dakwahmu sedang ditatang oleh pelbagai pihak. Engkau melakukan program dengan sumber kewangan yang datang bukan daripada poketmu, engkau melakukannya dengan dibantu oleh orang yang punya rasa sama denganmu, rasa gembira melakukan program dan mengikuti program. Ketahuilah, itu belum lagi cabaran dan mungkin kau sebenarnya belum lagi pun berada dalam medan dakwah. Aku lihat, dirimu terlalu senang, hatimu gembira dan kadang-kala kau memerli akan dakwahku. Ya, aku akui aku lambat, tidak punya program sepertimu, aku tidak semampumu. Tapi usahlah kau memerli aku, akan tiba masanya kau akan ketahui dakwah sebenar. Dimana kau perlu mengeluarkan wang mu sendiri, buka seringgit dua tapi beribu untuk kau sedarkan seorang mausia, tiada lagi bantuan masjid IPT, tiada lagi bantuan ustaz-ustaz, tiada lagi bantuan HEP. Nanti kau akan rasa, dan doaku moga dikau cekal dan tabah menghadapi dakwah ini

Kawanku

Ingatlah jalan kita masih jauh. Siapkanlah perbekalanmu. Usah terlalu seronok dengan keadaanmu, usah memandang rendah pada yang lain. Jagalah mulutmu, jagalah dirimu, agar kamu tidak tertipu. Teruskanlah berusaha, majulah kehadapan menjaga dirimu. Ingat jua, di akhirat kelak, amalmu dihisab sendiri-sendiri. Tiada lagi jemaah yang kamu banggakan, tiada lagi kumpulan yang selalu membuatkanmu senyum selalu. Tiada lagi.

Semangat Macam Ayam?

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 2:36 pm

Ini ayam daging atau lebih dikenali sebagai Broiler Chicken. Ayam ini dimasukkan kedalam reban ketika beratnya cuma 45 gram.

Ayam ini akan dikeluarkan pada umur 5 minggu atau 7 minggu. Nak tahu berapa beratnya puratanya?

2.5 kilogram. Cepat tak dia besar?

Adakah sebab disuntik?

Tidak. Ayam ini tidak diberikan sebarang suntikan hormone seperti yang didakwa melainkan dititis sedikit vaksin di matanya, tetapi merupakan baka yang telah dikaji untuk tujuan komersial ( That’s why dia besar)

Nak tahu sebab apa lagi dia membesar dengan cepat?

Sebab kerjanya MAKAN DAN TIDUR 24 JAM tanpa melakukan aktiviti lain.( Ada satu lagi, kuat berak)

Kami perlu memastikan ayam ini makan secukupnya malah terlebih makan selama 24 jam, diberikan cahaya lampu tatkala cuaca di bawah 31ºC.

Kesimpulannya

JANGAN JADI AYAM, SEMANGATLAH SIKIT BANG OI!!!

February 21, 2009

Sahabat

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 11:10 am

(Maaf, sedikit coretan peribadi)

Bismillah

Tasbih kepada Allah apa- apa yang ada di langit dan di bumi , yang Maharaja, Maha suci, Maha perkasa dan Mahabijaksana.(Al-jum’ah: 1)

Limpah kurnia nikmat dari Allah, dengan sebesar nikmat iman dan nyawa Alhamdulillah masih mampu bernafas panjang.

Sepatutnya waktu inilah dipenuhkan dengan segala taubat dan keinsafan kepada Allah, dijeritkan kekaguman dan kesyukuran serta dilaungkan takbir tanda kebesaran kepada ilahi.

Semenjak kebelakangan ini sahaja telah disibukkan dengan beberapa perkara, kadangkala kita sering menjadi lupa apabila Allah menguji kita. Baru diuji dengan kesibukkan yang sekelumit, sudah terasa payah, jerih dan perit. Terasa penat dan sedih. Baru sedikit, hati sudah mula lari. Hati kita cepat benar keras, mungkin dek kerana banyaknya dosa dan kurangnya tautan dengan ilahi.

Persahabatan

Persahabatan atau mungkin seerti dengan ukhuwah adalah satu nikmat yang amat besar. Pada peringkat umur belia 15 tahun sehingga 25 tahun , rakan-rakan adalah lebih bermakna daripada ibubapa sendiri. Itu adalah relitinya.

Saya juga terasa begitu. Setelah ketiadaan ayah pada umur 12 tahun, saya hanya mendapat kasih sayang penuh seorang ibu. Itupun tidaklah lama, sebabnya saya telah bersekolah di sebuah sekolah asrama yang jauhnya 4 jam menaiki bas. Jadi, yang menemani hidup saya adalah rakan-rakan seasrama. Pada mulanya saya terasa amat berat tinggal berjauhan dari keluarga(saya pasti semua orang pun begitu) , tapi kerana rakan-rakanlah yang membantu saya menyesuaikan diri. Persahabatan mengubah segala-galanya.

anas

Gambar diatas adalah gambar sahabat saya, (dari kiri: Anas Yusuf, Hakim, saya dan Pakcik Yusuf). Gambar yang diambil sebelum keberangkatan Anas ke Sydney, Australia. Mereka inilah sahabat yang sama-sama membesar dengan saya sejak lapan tahun yang lalu.

Saya dan Anas punyai sejarah yang sama pada mulanya. Kami mula mendapat tarbiyah(didikan) ketika dari tingatan satu lagi. Duduk dalam kumpulan yang sama dan dan seterusnya sehinggalah kami terpaksa berpisah di tingkatan lima. Lima tahun di dalam satu kumpulan memang amat manis. Banyak perkara yang dilakukan bersama, menjadi pimpinan sekolah bersama-sama, berjalan usah kira banyaknya bersama.

Sepanjang bersama, kita mampu mengubah diri kita dan rakan kita kearah yang lebih baik. Sejujurnya saya bukanlah orang yang pandai dan mahir membaca al-quran. Dikalangan rakan –rakan , saya adalah yang paling lemah menghafal. Namun kelemahan ini ditampung oleh Anas , mengajar dan mendidik saya sejak di tingkatan satu, memberikan idea dan motivasi kepada saya.

Daripada persahabatan ini saya dapati jika kita mahu mengubah diri kita, hanya ada satu cara yang paling mudah. Pilihlah sahabat yang baik,yang paling dekat dirinya dengan Allah bab kata pepatah tinggal bersama si penjual minyak wangi maka wangi jugalah kita.

Saudara sekalian

Ketika zaman nabi juga, nabi dikelilingi oleh para sahabat. Ada yang dari kalangan hamba sebagai contoh Bilal bin Robbah. Ada juga dari kalangan pembesar dan bangsawan sebagai contoh Abu Bakar.

Para sahabat terdiri daripada setinggi tahap masyarakat dan serendah-rendah tahap masyarakat, nabi tidak pernah memilih bulu. Tetapi yang nabi pentingkan adalah keimanan dan amalan mereka. Mungkin kita tahu, betapa jauhnya beza ilmu dan kekayaan diantara Abu Bakar dan Bilal. Abu Bakar adalah umpama Timbalan Perdana Menteri disebelah nabi sedangkan Bilal adalah orang bawahan. Namun kerana keimanan mereka, mereka adalah sama disisi nabi.

Itu baru sahaja Bilal dan Abu Bakar, bermakna di antara tahap mereka ini ada lagi yang pelbagai kerakter dan sifat. Ada yang bijak, ada yang garang , ada yang melawak dan ada juga yang pendiam. Semuanya adalah sahabat nabi.

Ada satu kisah, nabi bersama Ali sedang makan buah kurma. Setiap kali nabi habiskan kurmanya, nabi akan meletakkan bijinya dihadapan Ali. Lalu berkata baginda kepada Ali,” Wahai Ali , banyaknya kau makan,lapar sangatkah?”Kata nabi sambil tersengih-sengih mengusik.

Namun Ali membalas sambil tersenyum,” Wahai nabi, kau lagi lapar. Habis semua kurma beserta biji-bijinya kau makan.” ( Translation ikut suasana melayu)

Betapa nabi juga bergurau . Sahabat nabi juga bergurau. Menjadi mukmin yang baik tak bermakna perlu tunduk sepanjang waktu, tak bererti perlu memandang kebawah beruzlah setiap hari meninggalkan kehidupan dunia. Tak bermaksud perlu mencari sahabat yang serius , tak boleh bergurau dan bergelak ketawa. Dunia adalah untuk kita hadapi, hadapilah dengan Islam dan ukhuwah yang membentuk keimanan. Islam adalah rakyat dan kerajaan, islam adalah rakan-rakan dan persuadaraan.

Oleh itu, saya tidak melarang saudara –saudara untuk memilih sabhabat yang saudara ingini. Pilihlah. Namun yang saya pinta, carilah sahabat yang punya keimanan yang tinggi dan amalan yang soleh.

Allah berfirman

Yang menjadikan mati dan hidup. Untuk menguji kamu siapakah diantara kamu yang lebih baik amalannya, dan dia maha perkasa lagi Maha Pengampun” Al-Mulk : 2

Ingat, Allah tidak melihat kepada pandai bodohnya kamu, Allah tidak melihat cantik hansomenya kamu, tapi keimanan dan amalan yang dipandang soleh.

Pilihlah sendiri….

February 6, 2009

Perak Darul Ridzuan

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 6:48 pm

Kekecohan berlaku lagi. Jika dulu ura-ura menyatakan Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerjaan melalui beberapa ahli parlimen yang akan ‘melompat’ parti. Kini, lain pula jadinya, apabila Barisan Nasional gagah memasuki Istana Iskandariah dan terus mengangkat sumpah. Idea lompat parti makan tuannya semula.

Ada juga terkeluar daripada mulut sahabat beberapa teori, Dato’ Seri Anwar mahu melaksanakan perkara yang sama kepada negara, menjadikan hal yang berlaku sebagai sebab perlaksanaan pertukaran kerajaan boleh berlangsung. Teori tetap hanya teori.

Saya tidak nampak perkara ini sebuah perkara yang sihat. Generasi saya tidak menyenangi perkara ini.

Dan kami menyedari bahawa perkara begini akan berlaku. Rampasan kuasa, lompat parti atau apa jua istilah kononnya untuk menegakkan Islam adalah tidak betul sama-sekali.

Sepatutnya kita menyedari bahawa, untuk membina sebuah negara bercirikan Islam memerlukan masyarakat yang juga hidup secara Islam.

Caranya mungkin agak payah dan susah tetapi inilah caranya, mengajar dan memahamkan semua generasi kita tentang Islam yang sebenar.

Mungkin kita tidak sempat melihat Perak kembali kepada Parti yang memahami Islam, tetapi sekurang-kurangnya kita melahirkan generasi Islam yang akan memerintah Perak suatu hari nanti. Ingatlah, umur dakwah tidak sama dengan umur kita.

Tengoklah kesannya jika generasi yang ada kini tidak faham Islam, boleh sahaja memilih walau pun perasuah menjadi pemimpin, dan akhirnya mereka ini menjadi pengkhianat.

Pesan saya, tidak perlu terkejut, bertenang dan mulakanlah memahami Islam.

Untuk pakcikku,

Aku tahu perjuanganmu,

Bersabarlah dan bertenanglah,

Lahirkanlah dari zuriatmu,

Pejuang yang mewarisi darah keberanian,

Agar nanti dapat kulihat,

Zuriatmu memimpin negerimu,

Kearah Islam yang menyenangkan.

February 1, 2009

Jihad Tentera Malaysia

Filed under: Uncategorized — perjalananjauh @ 11:57 pm

Dengan nama Allah, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Alhamdulillah.

Hari ini saya telah diberi peluang untuk mengikuti Seminar Training of Trainers Palestin(TOT) di Klana Resort Seremban.

Banyak input menarik yang telah dipelajari, namun perlu melakukan homework sedikit untuk maklumat itu diolah mengikut gaya sendiri sebelum dipanggil memberikan ceramah mewakili Aman Palestin.

Selesainya TOT, saya pulang ke rumah di Bangi. Sempat melihat Buletin Utama TV3.

Memeranjatkan, pada pukul 8.10 malam saya disajikan dengan berita pembelasahan anggota seorang Angkatan Tentera Malaysia(ATM) yang diyakini ahli komando.Seorang dibelasah secara beramai-ramai.

Dipaparkan secara jelas melalui video yang dimainkan. Memalukan , menyedihkan, dan menakutkan.

Saya terbayangkan HAMAS. Adakah tentera HAMAS juga begini?

Adakah tentera Malaysia begini yang akan dihantar ke Palestin bagi membebaskan Al-Aqsa?

Video ini memberikan jawapan kepada segelintir jemaah gopoh yang melaung-laungkan agar dihantar tentera negara-negara Islam kini dan menggempur Israel. Adakah tentera kita yang sebegini layak pergi berjihad dan membebaskan Palestin?.

Berita ini juga menjawab persoalan sesetengah orang kebanyakkan yang mencemuh usaha kami mengutip derma,melakukan ceramah dan pameran sebagai membuang masa. Percayalah, usaha memahamkan orang dengan isu Palestin sefaham-fahamnya adalah lebih besar jihadnya berbanding menghantar tentera pergi ke Palestin tanpa mengetahui tujuan dan maknawi jihad.

Jadi , perlukah menghantar tentera ke sana sekarang?

Jawapannya , belum tiba masanya sehinggalah kita mendidik tentera kita sekental tentera Solahuddin Yusuf Bin Ayyub.

Bagaimana caranya?

Soleh wa muslih. (Perbaiki diri, tingkatkan taqwa dan perbaiki pula orang lain)

-Afizhi Atan, UPM-

Blog at WordPress.com.